Bismillahirrahmanirrahim

"Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani" - Surah Al-fatihah : ayat 1

Pencari Jiwa-jiwa Muda

"Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa2 muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah banggunan tersergam indah.."- Imam Hassan Al Banna

Generasi Awal Sek Tahfiz Al-Islah

"Sesungguhnya aku amat meridui seorang pemuda/pemudi yang tidak tidur lena kerana memikirkan masalah ummah.." - Imam Hassan Al Banna

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.This theme is Bloggerized by Lasantha Bandara - Premiumbloggertemplates.com.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.This theme is Bloggerized by Lasantha Bandara - Premiumbloggertemplates.com.

Ahad, 14 November 2010

Kem Hafazan Al-Quran Kali Ke 7












































Mengadakan Kem pada masa musim cuti persekolahan sudah menjadi agenda tahunan dalam kamus kehidupan saya. Sudah pelbagai jenis kem diadakan bermula dengan kem bina iman, kem generasi rabbani, kem anak soleh, kem bijak solat dan kem hafazan Al-Quran. Apabila usia sudah semakin lanjut penganjuran kem-kem lain terpaksa ditangguhkan kerana kem-kem seperti bina iman dan generasi rabbani memerlukan tenaga yang lebih untuk menjayakannya. Oleh itu kem hafazan sahaja yang mampu saya adakan setiap tahun dan alhamdulillah kali ini adalah kali ke 7 Insyallah kem kali ini akan ada sedikit perubahan dalam modul fardhu ain dan liqa' qurani. Di mana saya akan memasukkan solat khauf secara praktikal di dalam 'War Game' dan 'Kemahiran Ustaz'. Maklumat kem hafazan kali ini adalah seperti berikut:





Tarikh : 27 November 2011 hingga 4hb Disember 2011 (9pagi)


Tempat : Sekolah Tahfiz Al-Islah, Jalan Kampung Tok Bedu Tasek Gelugor, Pulau Pinang



Peserta : Putera- Puteri berusia 8 tahun hingga 15 tahun



Utk Pndftrn : sms nama, umur dan nama sekolah peserta ke talian 013-4881601/019-4651656



Pengisian Program

1. Hafazan surah-surah pilihan
2. Solat wajib dan sunat
3. Ceramah motivasi dan pendidikan
4. Liqa’ fardhu ain
5. Liqa’ Al-quran
6. Riadah
7. Kembara Al-quran
8. Qiamulail
9. Ujian fardhu ain/hafazan
10. Kuliah agama
11. Tilawah

* Di kem ini para peserta akan dibimbing agar mencintai Allah, Ar-rasul dan Al-quran serta ibu bapa dan keluarga seterusnya menjadikan mereka seorang insan yang soleh dan musleh.

Peralatan Yg Perlu Dibawa



1.Mushaf Al-quran
2.Pakaian solat
3.Pakaian sukan
4.Bantal dan selimut
5.Peralatan kemas diri
6.Kasut sukan
7.Sejadah


8.Jubah putih (peserta putera)


9.Tudung putih(peserta puteri)



Peralatan Yg Dilarang Untuk Dibawa



Telefon bimbit
Barangan kemas
Wang melebihi RM 25.00
Seluar jeans dan t-shirt ketat
Semua perkara yang menyalahi peraturan sekolah di Malaysia

Urusetia
Terdiri daripada para Ustaz dan Ustazah Sekolah Tahfiz Al-Islah(STAIL) dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz(SMART) dan para penuntut Maahad Tahfiz. Untuk keterangan lanjut hubungi Ustaz Ahmad Fahmi Abu Bakar ditalian 013-4881601 atau Mualimah Wardah ditalian 019-4651656

‘Untukmu Islam Yang Ku Cintai’










Jumaat, 12 November 2010

Akhirnya anakku dapat 15A 3B




Setelah 11 tahun mendidik para pelajar dan setelah 5 kali anak-anak didikku mengambil SPPM dan UPSR akhirnya pada tahun ini sampailah giliran anakku sendiri mengambilnya. Setiap kali daku pergi bersama isteri mengambil keputusan pelajar di PPD hati tentu sekali berdegup kencang kerana gusar dengan keputusan yang bakal diperoleh. Alhamdulillah setakat ini setiap tahun pasti ada yang mendapat 5A. Namun kali ini degupan jantung lebih kuat, kebimbangan lebih berat kerana menanti keputusan anak sendiri. Daku hanya berada diluar pejabat PPD sambil duduk membaca Al-Quran dan berdoa agar keputusan kali ini adalah yang terbaik buat sekolah agama seperti Sekolah Tahfiz ini dan juga untuk anakku Farwah. Akhirnya.... anakku dapat juga 5 A UPSR dan 10 A 3 B SPPM. Hatiku amat gembira dan dada menjadi sebak kerana betapa selama ini anakku Farwah sering membuat salah dan hari ini dia menghadiahkan hadiah istimewa buat kami sekeluarga.

Sebelum keputusan dimaklumkan kepada para pelajar dan waris daku mengajak mereka solat dhuha berjemaah dan memberi sedikit ucapan mengingatkan mereka bahawa perjuangan sebagai seorang pelajar bukan berakhir dengan keputusan peperiksaan tetapi ia hanya titik mula untuk mereka terus melangkah ke hadapan sebagai seorang pejuang. Yang berjaya syabas daku ucapkan dan teruskanlah kecemerlangan itu dan yang gagal bangkitlah untuk mencipta kecemerlangan pada masa hadapan. Sekali gagal bukan bermakna gagal untuk selamanya dan jika berjaya bukanlah kejayaan itu kekal selama-lamanya.

Tahniah anakku Farwah yang disayangi, abi bangga denganmu dan bersyukur pada ilahi. Teruskanlah perjuanganmu di Maahad Darussalam Gontor. Kepada isteriku tahniah abang ucapkan kerana berjaya mendidik anak mencapai kejayaan hari ini. Kepada guru-guru anakku Farwah di STAIL daku ucapkan jutaan terima dan jazakumullah khairan kathira...

Selasa, 9 November 2010

Anak Oh Anak


Kehidupan dahulu dan sekarang sebenarnya adalah sama cuma cara berfikir dan hidup sahaja yang berbeza. Apa bezanya kalau orang dahulu makan dan orang sekarang pun makan. Kalau orang dahulu minum orang sekarang juga minum. Kalau orang dahulu ada rumah orang sekarang juga ada rumah. Bezanya cuma pada cara makan, minum, membina rumah dan sebagainya. Begitulah juga dengan belajar, orang dahulu belajar dan orang sekarang juga belajar tapi caranya sahaja yang berbeza. Namun apa yang ingin saya lontarkan mengenai cara belajar para pelajar hari ini dan peranan ibu bapa yang boleh melahirkan para pelajar yang mati semangat juang dan pengorbanan diri.

Sepanjang saya memulakan aktiviti mendidik para pelajar dengan mengadakan kelas fardhu ain, hafazan hinggalah menguruskan Sekolah Tahfiz Al-Islah dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz saya dapati perubahan cara belajar dan peranan ibu bapa sudah banyak berubah. Sedangkan jangka masa bukanlah terlalu lama cuma baru 13 tahun. Jikalau dahulu para pelajar boleh tidur tanpa katil tapi hari tidak boleh sama sekali. Kalau dulu para pelajar boleh dirotan tapi hari ini tidak boleh lagi. Kalau dahulu para guru boleh berkorban bekerja pada hari cuti tapi hari ini tidak lagi. Kalau dulu para guru boleh terima gaji yang sedikit cukup dengan boleh makan minum dan hidup sekadarnya tapi hari tidak boleh lagi. Kalau dahulu ibu bapa benarkan anak dirotan tapi hari ini tidak lagi. Kalau dahulu anak-anak boleh disuruh bekerja untuk sekolah tapi hari ibu bapa marah dan tidak benarkan lagi kerana kata mereka, anak-anak mereka datang untuk belajar bukan untuk bekerja.


"Makanan tak cukup, la ustaz". "Nasi mentah la ustaz" . "Lauk tak sedap hari ni." "Anak-anak kata nyamuk banyak la Ustaz". "Ustaz kena ambil tindakan segera sebab ramai budak bersungut asrama panas". Serba macam komen dan ketidakpuasan hati sudah menjadi asam garam hidup saya melayan semua itu. Saya hanya mampu bertindak setakat yang saya mampu dengan keterbatasan kewangan dan kekuatan. Namun setelah saya memasukkan anak saya ke Maahad Darussalam Gontor maka tibalah pula giliran anak saya merintih dan mengadu keadaannya di sana. Apatah lagi dalam kejauhan ribuan batu perasaan sedih dan rindu pasti menusuk kalbu ditambahkan lagi rintihan daripada anak tersayang. "Nasi mentah la abi". "Hari-hari makan tempe dengan tauhu". "Hari-hari minum air paip". "Hilang kupon tak boleh makan". Asrama tak ada kipas, sempit." "Guru ajar pun salah". "Para Kiyai asyik perli orang Malaysia." Segala rintihan dan komen anak saya itu apa yang harus saya jawab dan apa tindakan saya? Apakah harus saya percaya kata-kata itu dan terus memarahi pihak Maahad. Alhamdulillah dengan pengalaman mengurus sekolah saya dapat melepasi situasi itu dengan baik. Cuma sepatah saya katakan padanya, nak jadi pejuang kena belajar hidup susah. Kesusahan hari ini adalah keberkatan untuk hari esok. Alhamdulillah ada juga makan kalau hendak dibandingkan dengan orang di tempat lain yang tiada makanan. Kepada pihak Maahad sedikit pun saya tidak salahkan mereka kerana saya yakin pada mereka sebab itu saya sanggup tinggalkan anak saya pada mereka. Saya yakin mereka akan melakukan yang terbaik untuk anak saya, moga dengan keyakinan saya terhadap mereka, anak saya mendapat berkat termasuklah juga saya.


Kepada mereka yang diluar sana, ingin saya berpesan didiklah anak dengan rasa susah kerana nikmat itu tidak kekal selamanya. Kepada anak-anak pelajar, belajarlah mencari jalan bukan mencari alasan, belajarlah dengan merasai susah untuk mendapat keberkatan Allah kerana perut yang kenyang sering terlupa kepada Allah s.w.t.

Isnin, 8 November 2010

Gunung Merapi




Semasa menyampaikan ceramah motivasi kepada para pelajar SPM MRSM sempat juga saya tayangkan slide warna-warni kehidupan. Sekalipun slide itu saya dapat daripada laman web yang bukan Islam namun ada beberapa makna disebaliknya. Saya katakan kepada mereka gambar hitam putih yang ditayang pada asalnya tidak menarik anda tetapi apabila diletakkan warna indah sekali tampaknya. Antara gambar yang saya paparkan ialah gambar pepohon yang berwarna warni dengan realiti warna kehidupan pepohon. Ada dahan yang mati, ada pula dahan yang masih utuh dan juga daun-daun yang gugur dan daunan yang hijau, segala keindahan begitu tampak dan jelas. Begitulah kehidupan ini yang jadikan dengan pelbagai warna ragam dan ujian. Ada kematian dan ada kehidupan, ada yang sakit dan ada pula perawatnya. Ada gunung merapi ada pula lavanya dan ada pula bajanya. Sesungguhnya segala ciptaan Allah indah semuanya dan ada hikmahnya.




Sebut saja tentang merapi, saya sering bertanya keadaan keluargaku di sana dan Alhamdulillah mereka semua baik-baik aja. Keindahan merapi sebelum meletus memang tidak dapat dinafikan namun bila ia sudah mengganas sudah hilang seri dan indahnya. Begitulah kita manusia segala kekecewaan dan kegelisahan, kemarahan harus dijaga jangan sampai meletus kerana jika ia meletus hilang sudah keindahan senyuman dan tawamu. Marah biarlah jangan sampai jadi seperti merapi. Saya sendiri sedang belajar bagaimana untuk menjadi orang yang boleh menahan marah dan bersabar kerana takut jadi merapi yang meletus bisa mengorban kasih sayang serta persaudaraan sesama insan. Ambilllah iktibar dari Merapi yang meletus ini untuk menjadi seorang yang penyabar.

Jumaat, 22 Oktober 2010

Alhamdulillah...


Alhamdulillah syukur pada ilahi Rabbi kerana akhirnya anakku berjaya memasuki kelas 1 di Maahad Darussalam Gontor. Sebelum pulang sempat daku berpesan agar beliau tabah menghadapi segala ujian dan sabar di dalam mencari ilmu. " Abang anak Ustaz Fahmi mesti kuat untuk menjadi pejuang agama Allah. Carilah ilmu untuk membaiki diri dan menjadi ulama yang beramal dan berakhlak mulia. Tangisan dari isteri dan along menyebabkan aku juga terasa sedih. Namun kesedihan itu cuma mainan perasaan yang paling penting keikhlasan untuk melihat anak berjaya dunia dan akhirat.


Selepas selesai menghantar dan mengucapkan selamat tinggal kami terus berangkat ke desa isteriku Doplang namanya. Selama 10 jam perjalanan dengan menaiki bas sungguh menguji kesabaran ditambahkan lagi rengetan dan kenakalan anak-anak. Akhirnya kami sampai juga ke Desa yang penuh dengan kedamaian. Anak-anak gembira tidak terkata bertemu ibu tersayang. Moga saja pertemuan ini menarik perhatian Allah dan mengurniakan kami dengan ketenangan yang abadi.


Terima kasih pada semua atas doa doa kalian semua.


sigi, lorok, telu, papat,

satu, dua, tiga, empat,

Ini saja saya sempat,

Redha Allah moga kita dapat.

Isnin, 18 Oktober 2010

Dari Kuala Lumpur Ke Gontor

Kini saat, kami sedang menanti keputusan ujian anakku Farwah apakah ia boleh memasuki terus ke kelas satu atau harus ke gontor 2 terlebih dahulu untuk kelas peralihan. Saat menunggu keputusan agak mendebarkan kerana jika gagal bermakna ia harus berada bersekolah disini selama 6 tahun. Alhamdulillah sepanjang kami di sini Allah memudahkan semua urusan. Sempat juga bertemu pelajar lama saya yang bernama Abu Ubaidah. Masya Allah beliau tampak begitu baik dan berakhlak serta berdisiplin hasil didikan Maahad Darussalam Gontor ini. Semoga anakku Farwah juga boleh menjadi insan soleh dan berdisplin seperti Abu ubaidah anak cikgu Radhi Kulim.
Dari Malaysia ke Indonesia,
Mencari iman, akhlak dan ilmunya,
Abi, Ummi dan adik-adik sentiasa berdoa,
Untukmu Farwah harapan keluarga,
Tiada kata dan airmata melainkan abi pasrahkan pada Allah maha pencipta,
Selamat tinggal dan selamat berjuang wahai anakku Farwah tercinta,
Moga Allah bersamamu sentiasa.

Sabtu, 16 Oktober 2010

Ibadah Korban Di Kemboja 6


Tanpa disedari masa berlalu begitu pantas kini umur anakku sudah menjangkau usia 12 tahun dan tahun hadapan sudah berusia 13 tahun. Anakku Farwah memang lahir pada bulan Januari seperti juga dengan tarikh kelahiranku. Sudah sampai masa untuk daku didiknya berada berjauhan dan berdikari mencari ilmu. Sudah 12 tahun dia bersama denganku. Ke masjid, ke laut, ke kebun, ke kedai, ke kuliah dan ke mana sahaja malah telah daku ajarkannya susah payah mengedarkan pemplet korban, wakaf, zakat dan demontrasi untuk Palestin. Kini sampai masanya dia perlu pergi mencari ilmu di tempat orang lain dan berguru dengan guru yang lain. Itulah rencam kehidupan seorang pendakwah. Nabi Ibrahim a.s tinggalkan anaknya Ismail a.s di Mekah. Nabi Muhammad s.a.w pula tinggalkan kampung halaman dengan perasaan sedih. Para sahabat juga terpaksa berkorban tinggalkan keluarga tercinta demi mencari redha Allah. Apakah aku dan anakku Farwah tidak mampu? Pergilah wahai anakku ke Gontor dan carilah ilmu dan didiklah jiwamu serta peribadimu dengan akhlak Islam kerana sesungguhnya Imam syafie juga terpaksa berjauhan dengan ibunya kerana ilmu dan akhlak ini.

Malam ini anak-anak tidur awal kerana esok jam 4.00pagi kami semua akan pergi ke Jawa menghantar Farwah pergi. Adik yang kecil bertanya along nak pi mana? Daku hanya menjawab pergi belajar dan insyallah tahun hadapan along pulang bercuti. Isteriku agak sebak, dan ramai ahli keluarga yang kurang bersetuju kerana anakku Farwah masih kecil kata mereka untuk berpisah. Namun bagiku biarlah daku berkorban perasaan sayang demi melihat anakku menjadi pejuang dan ulama' masa hadapan. Berkorban apa sahaja demi Islam tercinta. Sememangnya itulah kehidupan kita, jikalau inginkan sesuatu kita perlu korbankan sesuatu. Jika inginkan syurga kita perlu korban hawa dan kalau mahukan neraka maka perlu korbankan taqwa. Jikalau inginkan anak berjaya dan menjadi pejuang agama, maka kita perlu korbankan masa riang bersamanya. Doakanlah untuk anakku Farwah agar beliau menjadi insan soleh wa musleh kerana doa kalian amat daku dambakan.


Sesiapa yang ingin menyertai ibadah korban di Kemboja bolehlah menghubungi saya di talian 0134881601/0194651656

Khamis, 14 Oktober 2010

Ibadah Korban Di Kemboja 5


Ibadah korban merupakan satu ibadah yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sejarahnya bermula sejak zaman nabi Adam a.s dan nabi Ibrahim a.s. Jikalau diteliti daripada kedua-dua kisah yang berlaku iaitu kisah anak-anak nabi Adam a.s. dan kisah Nabi Ibrahim bersama anaknya nabi Ismail, maka jelas kepada kita tentang erti pengorbanan. Allah menghias jiwa manusia cinta dan suka kepada harta dan anak-anak. Namun kecintaan kepada harta dan anak-anak, seharus tidak melebihi cinta kepada Allah s.w.t. Gambaran kisah Qabil dan Habil yang diminta mengorbankan hasil pertanian dan penternakan adalah lambang kepada kecintaan manusia kepada harta. Apakah manusia merasai bahawa harta yang ia peroleh selama ini adalah miliknya selama-lamanya? Atau apakah dia merasai bahawa harta itu hasil titik peluhnya tanpa ada sedikit pun kaitan dengan pemberian Allah sebagai pemberi rezeki? Pengorbanan yang lebih tinggi lagi digambarkan pada kisah nabi Ibrahim a.s yang diperintahkan menyembelih anak kesayangannya nabi Ismail a.s. Nyawa anak ibarat nyawa bapa itu sendiri. Apakah kita sanggup mengorbankan nyawa kita dan anak-anak kita demi mendapatkan kasih sayang Allah?


Kita tahu dan faham bahawa ibadah korban yang diperintahkan kepada kita bukanlah sampai ke tahap mengorbankan nyawa anak, cuma sekadar sedikit wang dan harta yang dikorbankan. Apakah dengan hanya RM 230.00 atau RM 300.00 atau seekor lembu RM 2000.00 kita sudah gagal dan tidak mampu untuk melaksanakannya? Sememangnya Islam itu agama yang adil dan sempurna, maka tidak diwajibkan kepada kita untuk melaksanakan ibadah korban kerana mungkin ada mereka yang tidak mampu melakukannya. Namun kepada mereka yang mampu dan kaya kenapa masih teragak-agak untuk melaksanakannya. Adakah anda takut wang anda berkurangan kerana RM 230 untuk ibadah korban ini? Jikalau gaji anda RM 2000 sebulan bermakna setahun RM 24,000.00 adakah dengan RM 230.00 ianya akan menyebabkan anda jatuh miskin.


Allah berfirman yang bermaksud" Sesungguhnya Allah membeli daripada orang mukmin itu nyawa dan harta mereka dengan bayaran syurga untuk mereka."

Jikalau dengan sedikit pengorbanan harta pun kita sudah takut inikan pula hendak mengorbankan diri dan nyawa untuk Islam yang kita cintai. Jauh panggang dari api. Oleh itu saya menyeru kepada semua para pembaca agar melaksanakan korban di Kemboja ini demi mencari keredhaan Allah s.w.t. Hubungilah saya segera di talian 0134881601/0194651656

Rabu, 13 Oktober 2010

Ibadah Korban Di Kemboja 4


Kepulangan kami dari lawatan di Kemboja telah memberi kesan yang mendalam kepada diri kami setelah melihat sendiri kemiskinan dan kedhaifan yang terpaksa ditanggung oleh umat Islam Kemboja. Oleh itu usaha mengutip yuran penyertaan korban pun dilaksanakan tanpa ditangguh lagi. Hasilnya pada tahun pertama program ini dijalankan iaitu tahun 1428 bersamaan tahun 2007 pihak Sekolah Tahfiz Al-Islah berjaya mengumpul penyertaan seramai 350 orang peserta dengan jumlah 52 ekor lembu telah berjaya dikorbankan. Disamping kami menguruskan ibadah korban, kami juga telah mengadakan pakej lawatan ke sana demi merasai suasana berhari raya di tempat umat Islam yang miskin. Kami telah membawa pelbagai jenis bantuan daripada orang-orang Malaysia khususnya daripada Persatuan Kebajikan Islam TNB Pulau Pinang. Pelbagai bentuk bantuan itu termasuklah kotak pensil, Iqra', Muqaddam, alat tulis, pakaian dan lain-lain. Kami juga mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada mereka. Kehadiran kami disambut begitu meriah malah di sambut oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar iaitu Dr Mohsein. Satu Program perasmian diadakan dan penyampaian bantuan telah diadakan dengan jayanya. Kanak-kanak sungguh gembira apabila mendapat alat tulis dan iqra' daripada pihak kami. Namun kami agak terharu kerana barang bantuan yang dibawa tidak mencukupi dan terlalu kurang kalau hendak dibandingkan dengan jumlah penduduknya. Di dalam program ini juga kami telah mengadakan sedikit sukaneka untuk anak-anak demi menghiburkan mereka.

Selesai saja program perasmian kami terus berehat dan bermalam di situ kerana esok kami akan berangkat mengililingi kampung-kampung yang menjadi lokasi ibadah korban anjuran Sekolah Tahfiz Al-Islah dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz. Selama 4 hari 5 malam kami di sana merasai dan mengahayati suasana hari raya korban bersama umat Islam yang miskin. Kami puas dan bersyukur kerana program ini berjaya dan berjalan dengan lancar sekali pun ianya kali pertama. Kami berangkat pulang dengan tekad tahun hadapan kami ingin menyemarakkan lagi program ini, insyallah. Allahuakbar!!!

Sila hubungi saya untuk ibadah penyertaan korban tahun ini dengan menelefon saya di talian 0134881601 atau 0194651656 atau email saya mudiram@gmail.com

Selasa, 12 Oktober 2010

Ibadah Korban Di Kemboja 3



Alhamdulillah setelah pertemuan dengan Muhammad mencapai keputusan pada tempoh hari, maka saya terus menyediakan kertas kerja Ibadah korban di Kemboja untuk dibentangkan kepada ahli Jemaah Pengurus Sekolah untuk mendapatkan kelulusan. Pihak Jemaah Pengurus sekolah berasa amat gembira dengan cadangan tersebut namun satu lawatan ke Kemboja perlu diadakan terlebih dahulu untuk memastikan perjalanan ibadah korban berjalan dengan lancar. Kami telah berangkat ke sana dengan disertai oleh 5 orang ahli rombongan. Di sana kami telah melawat beberapa buah kampung di wilayah kampung Champ iaitu satu wilayah yang ramai penduduk Islam. Kami melihat sendiri kesusahan yang dialami oleh para penduduk di mana kehidupan mereka ibarat Malaysia 40 tahun yang lalu. Seluruh kampung bergantung pada air perigi dan setiap kali makan hanyalah nasi dan sayur tanpa sebarang lauk seperti ikan atau pun ayam. Kesusahan mereka memberi impak kesedaran kepada kami betapa syukurnya kita di negara bertuah ini kerana hidup dengan dipenuhi rezeki yang melimpah ruah. Setelah melawat kampung, kami telah mengambil kesempatan untuk mengunjungi Mufti Kemboja Okna Kamaruddin. Ketika bersama beliau, kami telah mendapat gambaran yang begitu dahsyat keadaan Kemboja sewaktu berada di bawah pemerintahan Pol Pot. Beliau sendiri telah merasai keperitan dan kesengsaraan ketika ditahan dan disiksa oleh tentera Pol Pot. Katanya "Kita hanya tunggu mati dan kini ibarat mati hidup semula". Kami mengemukakan cadangan kami untuk mengadakan program Kemboja yang berpaksikan bantuan pendidikan dan beliau amat bersetuju dengan tujuan murni tersebut.

Hasil lawatan tersebut telah membangkitkan semangat kami untuk terus berkhidmat kepada agama tercinta dan umatnya sehingga ke titisan darah yang terakhir. Namun sebelum kami berangkat pulang sempat juga kami membeli belah di Bandar Phnom Phen dan begitulah orang Malaysia tidak sah jikalau tidak membeli belah. Bukannya apa, cuma tanda ingat pada keluarga. Kepada para muslimin dan muslimat yang ingin menyertai ibadah korban silalah hubungi saya di talian 0134881601/0194651656.

Rabu, 6 Oktober 2010

Ibadah Korban Di Kemboja 2

Semasa saya menghadiri Konvensyen Sekolah-Sekolah Tahfiz Asia Pasifik di Kota Bharu Kelantan pada tahun 2007, saya telah menemui seorang rakan yang bernama Muhammad dari negara Kemboja. Di dalam perbualan saya dengannya, mudah untuk saya memahami suasana kesusahan dan kemiskinan masyarakat Islam di Kemboja. Terlintas di fikiran saya untuk membantu mereka meningkatkan taraf hidup dan keluar daripada keadaan kesusahan dan kemiskinan tersebut. Segala permasalahan hidup di dunia ini boleh diatasi dengan merealisasikan ilmu dalam kehidupan. Tingkatkan ilmu insyallah akan meningkatlah taraf kehidupan mereka. Itulah solusi yang dapat saya ambil daripada perbincangan dengan Muhammad. Saya boleh menawarkan pelajar-pelajar daripada Kemboja datang belajar di Sekolah Menengah Arab Tahfiz dan Sekolah Tahfiz Al-Islah. Tetapi bagaimana pula dengan segala kos yang terpaksa ditanggung oleh pihak Sekolah, sedangkan pihak sekolah sendiri kekurangan wang. Untuk menampung kos seorang pelajar memerlukan RM 3000 setahun. Apabila direnung dan difikirkan maka saya terus bertanya kepada Muhammad, bagaimana jikalau diadakan program korban? Dan jawapan yang diterima ialah ok dan baik untuk jangka masa panjang. Kos penyelenggaraan korban disana cuma RM 1200 sedangkan di Malaysia boleh mencecah RM 3000.00. Mulai hari itu saya pun mengambil keputusan untuk menjayakan program ibadah korban bagi mengutip derma pendidikan dan memudahkan umat Islam mengerjakan ibadah korban, disamping membantu umat Islam di Kemboja yang majoritinya orang miskin. Untuk itu saya mengajak umat Islam menyertai ibadah korban di Kemboja pada tahun ini dengan bayaran RM 230 untuk satu dan Aqiqah RM 260 untuk satu bahagian. Sila hubungi saya segera di talian 0134881601 atau 0194651656.

Selasa, 5 Oktober 2010

Ibadah Korban Di Kemboja 1



Assalamualaikum kepada semua para pembaca yang saya kasihi. Syukur kepada ilahi Allah yang maha agung lagi maha besar kerana kita semua masih menikmati nikmat iman dan Islam. Apabila bercakap tentang nikmat, kadang-kadang kita perlu bertanya bagaimana untuk kita merasai sesuatu itu nikmat? Apakah kerana ianya berharga mahal seperti sebuah rumah maka kita katakan ianya nikmat? Bagaimana pula dengan sesuatu yang kurang bernilai seperti sehelai kertas yang tiada harga? Apakah ianya juga satu nikmat? Untuk menjawab persoalan ini cuba kita renung ayat Allah yang bermaksud, " Jika kamu ingin menghitung nikmat Allah nescaya kamu tidak akan terhitung." Nikmat pastinya sesuatu yang disukai dan dihajati oleh seseorang. Namun untuk merasai sesuatu itu nikmat besar dan tinggi nilainya pasti ia perlukan pengorbanan. Pengorbanan untuk mendapatkan sesuatu itu menyebabkan ia menjadi nikmat yang berharga. Para sahabat menghayati dan menginsafi betapa bernilainya iman dan Islam kerana mereka terpaksa berkorban nyawa dan harta untuk mendapatkannya. Bagaimana pula dengan kita yang telah mewarisi Islam daripada ibu bapa kita, apakah kita juga merasai seperti mereka? Sememangnya tidak akan sama nilaiannya pada kehidupan kita kerana mereka terpaksa bersusah payah sedangkan kita mudah tanpa susah. Oleh itu untuk merasai betapa Islam itu nikmat yang besar dan berharga kita haruslah berkorban demi mendapatkannya dan menghayatinya. Kemanisan iman dan Islam itu akan dirasai apabila kita sanggup berkorban untuknya. Oleh itu dikesempatan ini ingin saya mengajak para pembaca untuk menyertai ibadah korban tahun di Kemboja.Hubungilah saya di 0134881601 atau 0194651656. Harga satu bahagian hanya RM 230 untuk korban dan RM 260 untuk Aqiqah.

Jumaat, 6 Ogos 2010

Al-Fatihah


Hidup dan mati adalah ketentuan Allah s.w.t. Firman Allah yang bermaksud "Setiap yang bernyawa pasti merasai kematian". Kadang-kadang yang tua diambil dahulu dan yang muda dibiarkan. Ada pula yang muda dijemput dan yang tua terus hidup. Malah ada juga yang sihat dipanggil Allah dan yang sakit terus sihat. Ketentuan Allah tiada siapa yang tahu. Kita berdoa agar panjang umur, murah rezeki dan sentiasa berada dalam keadaan taat kepada Allah.
Sepanjang perjalanan pulang dari Genting Highland saya banyak berbincang dengan isteri berkaitan perubahan yang ingin kami lakukan di sekolah. Sambil berbual berkaitan sekolah teringat kami kepada Mualimah Fauziah yang lebih dikenali oleh isteriku dan kawan-kawannya sebagai ummi. Saya hanya memanggilnya dengan panggilan kak fauziah sahaja. Ingatan kami kepadanya agak mendalam kerana dia merupakan seorang guru STAIL&SMART yang amat berdedikasi. Saya terus bertanya kepada isteri bagaimana keadaannya setelah mengidap kanser tahap 4. Isteriku menjawab bahawa dia sering mendapatkan berita daripadanya anak melalui sms dan keadaannya masih tidak berubah. Kereta yang saya pandu terus meluncur laju dan perbualan kami tiba-tiba berhenti dek kerana hujan lebat yang turun mencurah-curah menyebabkan saya terpaksa memberi fokus kepada pemanduan. Pemanduan yang agak berhati-hati itu tiba-tiba dikejutkan dengan panggilan telefon daripada Afiqah anaknya kak fauziah ke telefon bimbit isteriku. Perkhabaran yang diterima terasa sayu dan sepi di mana beliau telah dipanggil oleh Allah s.w.t.
Kami kembali menyambung perbualan berkaitan beliau. Dalam sedu dan sedih isteriku mengimbau segala jasanya di STAIL&SMART. Walaupun cuma setahun enam bulan ia menjadi guru namun jasanya terlalu banyak. Saya tidak lupa saat beliau datang membawa bungkusan simen untuk menampal lantai dewan terbuka STAIL pada hari cuti di mana semua orang bercuti. Dan saat beliau berkata kepadaku jagalah anaknya dan didiklah anaknya yang kini berada di SMART saya hanya menganggukkan kepala. Suaranya lemah tapi penuh harap. Saya tidak akan persiakan jasanya kepada STAIL&SMART dan insyallah akan saya cuba laksanakan janji untuk mendidik anaknya sebaik-baiknya.

Al-Fatihah untuk rohnya. Moga Allah tempatkannya bersama para syuhada dan solihin. Amin..

Khamis, 5 Ogos 2010

Tafsir 1



" Alif Lam Mim, itulah kitab yang tidak keraguan padanya, menjadi pertunjuk kepada orang yang bertaqwa".(1)

Sidang pembaca yang dirahmati Allah. Surah Al-Baqarah merupakan surah yang kedua mengikut susunan surah-surah di dalam Al-Quran. Ia juga merupakan surah yang terpanjang jika hendak dibandingkan dengan surah-surah yang lain. Ayat yang kita ikuti kali ini merupakan ayat permulaan surah Al-Baqarah. Ayat pertama yang merupakan sebutan huruf telah ditafsirkan oleh para ulama dengan mengembalikan maknanya kepada Allah s.w.t. Ayat kedua pula menerangkan hakikat sebenar Al-Quran. Al-Quran diturunkan oleh Allah dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa sekali pun orang kafir. Ini kerana tidak ada sesiapa pun yang dapat mendatangkan sebuah kitab sehebat Al-Quran. Dengan Al-Quran seseorang akan mendapat pertunjuk dan dengan pertunjuk itulah ia akan menjadi seorang yang bertaqwa. (Saya terpaksa berhenti dahulu insyallah nanti akan saya sambung kembali kerana perlu bersiap untuk ke kuliah pagi ni)

Rabu, 4 Ogos 2010

Gambar Anak-Anak Didikku


Sahabat Seperjuangan....





Bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan dan taqwa dan jangan pula bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan. Semua orang tahu sama ada ustaz atau bukan ustaz, para alim ulama atau orang biasa dan awam semuanya tahu tentang hakikat ini. Tetapi kenapa masih ada yang tidak melaksanakannya. Di dalam perjuangan Islam ramai sahabat dan ramai juga musuh. Tetapi kadang-kadang yang musuh boleh jadi kawan dan yang kawan pula boleh jadi musuh. Sejarah telah mengajar kita agar berwasapada sentiasa kerana ada mereka yang asalnya bersahabat malah kadang-kadang lebih akrab dengan ikatan kekeluargaan. Lihat sahaja yang terjadi dengan Nabi Musa a.s dan Firaun. Bukankah Firaun itu asalnya ayah angkat nabi Musa a.s? Akhirnya yang terjadi? Lihat juga kisah nabi Yusuf a.s, bagaimana abang-abang sendiri cuba membunuhnya. Bukankah mereka itu saudaranya? Bagaimana pula dengan Nabi Nuh dan anak-anaknya? Abu Lahab yang menyanjung Rasulullah pada asalnya, menjadi musuh no1 menentang Rasulullah s.a.w. Begitulah juga dengan musuh ianya boleh bertukar menjadi kawan dan sahabat. Ini boleh dilihat betapa ramai dikalangan sahabat Rasulullah s.a.w yang pada asalnya musuh telah bertukar menjadi sahabat. Siapa mereka yang bernama Khalid Al-Walid, Ikrimah Abi Jahal, Abu sufyan dan banyak lagi.

Kepada rakan-rakanku sekalian marilah kukuhkan ukhwah antara kita dan eratkan hubungan antara kita untuk meneruskan perjuangan ini. Ingatlah dengan perjuangan ini kita mulia dan bukanlah perjuangan ini mulia kerana kita. Berdoalah agar kita terus bersama mendaulatkan Islam tercinta walau di mana kita berada. Kepada para guru STAIL&SMART yang masih bersama tahniah dan syabas serta jutaan terima kasih kerana terus bersama membina dan mengukuhkan sekolah kita. Kepada mereka yang berhenti dan yang akan berhenti, saya ucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan anda selama ini. Antum tetap di dalam doa kami dan teruskan perjuangan Islam ini di mana sahaja anda berada. Kita adalah sama cuma tidak serupa.

Salam Ukhwah Untuk Semua

Untukmu Islam Yang Kucintai.

Rabu, 2 Jun 2010

Kesabaran

"Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar." Ayat ini sering berkisar dibibir kita setiap kali kita mengungkapkan mengenai kepentingan sabar. Namun untuk merasainya hanya kita yang tahu apakah benar kita seorang yang bersabar. Berkata 'sabarlah' memang mudah tetapi untuk menghayatinya perlu latihan dan kesungguhan. Sepanjang mengurus Sekolah Tahfiz Al-Islah dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz, menghadapi kerenah para pelajar dan guru-guru serta kakitangan telah banyak mengajar ana betapa perlunya kesabaran sebagai seorang pemimpin. Tidak terlepas kepada mereka yang sudah beristeri dan berkeluarga pasti mereka juga sedang dalam latihan dan kesungguhan untuk bersabar. Ungkapan sabar tidak dipelajari dengan menadah kitab dan buku atau membaca mengenainya tetapi ia boleh dipelajari dan dihayati dengan menatap dan membaca buku kehidupan seharian. Kini kehidupan ana semakin kuat kerana semakin dapat bersabar. Walau bagaimana hebat sekali pun ribut atau taufan yang melanda namun jika tiang kesabaran masih utuh dan tidak tercabut maka selagi itu kita mampu meneruskan kehidupan. "Mohon pertolongan Allah dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang sabar." Jika kita bersabar yang marah bertukar tenang, yang duka bertukar suka, yang masam bertukar manis yang sempit bertukar luas dan lapang, yang sukar bertukar senang. Kunci segala kejayaan dan keharmonian ialah kesabaran. Jika kita melakukan dosa bertaubatlah dengan sabar. Jika melihat maksiat bersabarlah dalam menegur dan mencegahnya. Jika kita belajar bersabarlah dalam mempelajarinya. Jika melakukan ibadah bersabarlah dalam mengerjakannya. Benarlah kata-kata sabar itu sebahagian daripada iman.

Selasa, 13 Oktober 2009

Kereta dan Kita

Sungguh cepat masa berlalu tanpa kita sedari kini kita sudah diambang akhir Syawal. Rasa baru sahaja kita menyambut hari raya namun kini sudah hampir meninggalkan Syawal. Entah berapa ramai yang sudah berjaya berpuasa 6 hari pada bulan Syawal hanya Allah yang tahu. Mudah-mudahan para pembaca berjaya melaksanakannya. Mungkin ada dikalangan para pembaca yang tertanya-tanya ke mana menghilangnya Abu Farwah? Hampir sebulan saya tidak mengemaskini blog saya ini. Sepanjang waktu itu hati saya sentiasa teringat dan rindu untuk menulis namun keadaan tidak mengizinkan saya untuk menulisnya.
Alhamdulillah malam ini saya gagahkan juga jari jemari saya untuk menulis dan memetik keyboard laptop ini untuk memulakan semula penulisan saya. Baru selesai menyuapkan ibu ubat dan makanan maka saya ambil sedikit masa untuk menulis sebagai tatapan kepada para pembaca. Malam ini saya pergi berkuliah di sebuah Institusi teknikal dan alangkah sedihnya kerana ada para pelajar lelakinya yang datang ke surau tapi boleh duduk tanpa bersolat. Saya yang datang lewat mengajak mereka solat tapi ada yang buat tak tahu je saranan saya. Malam ini adalah malam pertama saya berkuliah di situ sebab itu mereka tidak kenal saya. Oleh itu semasa dalam kuliah saya pun mengambil kesempatan untuk menekankan persoalan solat kepada mereka. Saya membuat satu contoh mudah dengan memberi perumpamaan hidup ini dengan sebuah kereta. Jika sebuah kereta ada pencipta begitulah juga diri kita ada penciptanya. Jika pencipta kereta telah memprogram kereta tersebut dengan kuasa petrol maka kita yang menggunakan kereta tidak boleh pandai-pandai untuk meletakkan minyak diesel. Jika kita keras kepala untuk meletakkan minyak diesel kerana beranggapan bahawa kereta itu adalah kepunyaan kita maka akan rosaklah kereta tersebut. Begitulah hidup kita jika kita keras kepala dan tak mahu ikut program yang telah diprogramkan oleh pencipta kita maka tunggulah saat kehancuran. Pencipta kita Allah telah menentukan kepada bahawa sehari semalam kita wajib bersolat 5 kali demi kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat nanti. Jangan keras kepala dan degil yang rugi adalah kita sendiri. Seperti kereta yang rosak kita yang rugi bukan pencipta kereta.

Jumaat, 18 September 2009

Sambutan Hari Raya

Alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana kita sudah menghampiri 1 Syawal. Kita bersyukur kerana kita berjaya bersama dengan Ramadhan kali ini. Namun begitu apakah Ramadhan kali ini telah menjanjikan anguerah takwa dan keampunan dosa? Pada kesempatan ini saya memohon berbanyak kemaafan kepada para pengunjung blog saya ini jika sepanjang penulisan saya ada yang menyingung perasaan dan tersalah kata. Saya juga memohon maaf kerana sudah lama tidak menulis dan mengemaskini blog saya ini. Ini adalah disebabkan kesibukan menyambut 10 hari terakhir. Hari ini saya gagahkan diri untuk menulis sedikit beberapa panduan menyambut hari raya buat tatapan para pembaca sekalian. Panduan menyambut hari raya ini ada yang mengikut sunnah dan ada mengikut kebiasaan kehidupan kita di Malaysia. Tidak menjadi salah jika budaya sambutan di Malaysia kita ikuti jika ia tidak bercanggah dengan kehendak agama. (Nampaknya saya terpaksa berhenti menulis sebentar nanti malam saya sambung semula kerana sudah waktu asar dan hendak ke pasar Ramadhan pula)

Isnin, 7 September 2009

Ramadhan Al-Mubarrak 5


Sempena hari ini 17 Ramadhan 1430, ana mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Nuzul Al-Quran. Dalam kita meraikan hari ini sebagai nuzul Al-quran apakah kita sering berdamping dengan Al-quran. Baru-baru ini saya menghadiri satu undangan ceramah di sebuah sekolah menengah dan ketika ceramah itu saya bertanya kepada para pelajar siapakah dikalangan mereka yang membaca Al-quran? Jawapannya tiada seorang pun yang mengangkatkan tangan. Saya cuba untuk menenangkan
hati dengan mengatakan pada diri mungkin mereka malu untuk menjawabnya. Namun rasa bimbang menguasai diri betapa jikalau inilah generasi yang sedang kita hadapi, satu generasi yang mengejar pencapaian dunia tetapi tandus daripada pedoman Al-quran pasti nasib kita malang seribu kali malang. Di dalam satu hadis nabi Rasulullah pernah berkata " Sebaik-baik ibadah umatku ialah membaca Al-quran." Begitu juga pesanan Rasulullah s.a.w kepada para ibu bapa agar mendidik anak-anak agar berdamping dan menghayati Al-quran dengan sabdanya " Didiklah anak-anak kamu membaca Al-quran."

Sidang pembaca yang budiman,

Saya mengajak diri saya dan sidang pembaca sekalian agar kita bercinta dengan Al-quran kerana jika kita mencintainya pasti Al-quran juga mencintai kita. Ibu bapa cinta Al-quran, anak juga akan mencintai Al-quran. Para guru cinta Al-quran maka pasti anak-anak murid juga mencintai Al-quran. Marilah kita belajar mencintai Al-quran. Jika sehari kita tidak menyentuh dan membacanya terasa rindu bagai seminggu tidak bertemu. Rasulullah bersabda " Ahli Al-quran adalah ahli Allah". Ada 3 perkara yang harus kita lakukan untuk menjadi ahli Al-quran. Pertama, kita sering membaca dan mendengar Al-quran. Kedua,meniliti makna-makna yang terkandung didalamnya atau dinamakan tadabbur. Ketiga, mengamalkan isi-isi kandungan Al-quran di dalam kehidupan kita seharian.