Bismillahirrahmanirrahim

"Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani" - Surah Al-fatihah : ayat 1

Pencari Jiwa-jiwa Muda

"Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa2 muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah banggunan tersergam indah.."- Imam Hassan Al Banna

Generasi Awal Sek Tahfiz Al-Islah

"Sesungguhnya aku amat meridui seorang pemuda/pemudi yang tidak tidur lena kerana memikirkan masalah ummah.." - Imam Hassan Al Banna

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.This theme is Bloggerized by Lasantha Bandara - Premiumbloggertemplates.com.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.This theme is Bloggerized by Lasantha Bandara - Premiumbloggertemplates.com.

Rabu, 27 Februari 2013

Wanita dan Al quran





Malam itu saya dan ayah meredah kesejukan malam menuju ke rumah Syed Ali, seorang guru Al Quran dengan hanya bermotorsikal. Ketika itu mana ada kereta seperti sekarang, semuanya hidup dalam keadaan susah. Seperti biasa saya yang masih kecil suka duduk di hadapan, didalam raga motor kapcai ayah jenis Honda 70cc dengan plat nombor PV 3605. Tidak berapa lama akhirnya kami pun sampai di rumah rumah ustaz Syed Ali seorang guru Al Quran yang cacat anggota tapi pandai dengan ilmu Al quran. Rumahnya terletak di Kampung Titi Serong. Kehidupan kami sekeluarga sememangnya dihiasi dengan Al Quran, cuma ketika itu ayah tidak memberatkan saya untuk menghafaz Al Quran kecuali surah surah lazim sahaja. Pulang sahaja ke rumah ayah akan memutarkan kembali rakaman yang dibuat dengan menggunakan player mahal berjenama National. Kami pun ikut serta mendengar dan cuba membetulkan bacaan bacaan kami.

Memori dahulu berlalu pergi...hari ini satu realiti

Hari ini anak anakku sudah semakin membesar, ada putera dan ada pula puteri manja. Alhamdulillah kalau nak dikira pula anak anak muridku bukan 5 tapi 900 orang ramainya, bermula dari usia 3 tahun hinggalah 19 tahun ada yang puteri dan ada pula yang putera. Jika dahulu ayah dan ibu mendidik daku dengan Al Quran, pastinya daku juga ingin mendidik anak anakku dengan Al Quran begitulah juga dengan anak anak didikku. Zaman semakin berubah, kalau dulu telefon cuma ada di kilang padi sebuah kampung, pondok telefon di balai polis atau pun di rumah orang kaya estet. Tapi kini alat telekomunikasi semakin canggih, telefon sudah ditangan, dari korporat besar hinggalah mak cik penggoreng pisang. Internet ada di mana mana, Al Quran bukan cuma sebuah kitab tetapi kini sudah ada yang digitalnya, telefon bimbit juga sudah boleh mengisi dengan perisian Al Quran. Ilmu perbandingan agama, mazhab menjadi mudah, sampai pening pening para ustaz dan ulama nak menjawab persoalan yang dikemukakan. Itulah realiti hidup kini, sekarang bukan lagi tahun 1980, anak anak juga sudah semakin ke hadapan sama ada dari segi ilmu atau pun kefahaman. Dengan realiti baru dan suasana dunia serba baru, timbul pula pelbagai persoalan dikalangan anak anak gadisku. 



Bacalah Al quran...





"Bolehkah membaca Al Quran ketika kami kedatangan haid ?" Persoalan itu bukanlah persoalan baru, kerana perbahasannya sudah ada di dalam kitab kitab para ulama. Cuma persoalan ini, menjadi bualan anak anak puteriku serta guru gurunya apabila saya menyuruh mereka tetap membaca Al quran dan mengulang hafazan yang telah mereka hafaz. Membaca dan menghafaz Al Quran dijanjikan ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah s.w.t. Malanglah bagi mereka para wanita dan gadis gadis serta puteri puteriku apabila selama mungkin 3 hari atau 7 hari atau mungkin juga hingga 15 hari tidak dapat membaca dan menghafaz Al quran. Apa yang akan terjadi kepada hafazan puteri puteriku jika haid mereka melewati hingga hari ke 15? Pada zaman yang serba moden dan canggih ini, apakah kita masih terikat dengan satu pandangan sehingga kadang kadang pandangan tersebut memberi mudharat kepada kita. Hukum larangan  ini, bukanlah  satu hukuman yang putus seperti pengharaman arak dan babi, ia masih lagi dalam linkungan kekhilafan para ulama. Namun begitu saya amat gembira apabila anak anak puteri saya, amat perihatin dengan bacaan Al quran. Orang yang bertanya berkaitan hukum ini pastilah mereka yang rajin membaca Al Quran. Orang yang rajin membaca Al Quran sudah pasti tarafnya tidak sama dengan mereka yang malas membaca Al Quran. 

Ketika Rasulullah s.a.w hendak mengebumikan jenazah syuhada yang terkorban rasulullah telah bertanya siapa dikalangan yang terkorban itu, mempunyai kelebihan dari hafazan Al Qurannya, akan didahulukan pengebumiannya. Jika diqiaskan kepada pemilihan isteri atau suami maka sudah pasti mereka yang mempunyai kelebihan dalam hafazan Al Quran itu yang didahulukan. Diantara kelebihan menjadi pedamping Al Quran sama ada membaca atau menghafaznya adalah seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w.

“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli Al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)

Terdapat banyak lagi kelebihan membaca dan menghafaz Al Quran.


Saya haid kata anakku...


Al Quran bukanlah sebuah karangan ilmiah, bukan juga sebuah buku sejarah tinggalan lama dan tiada sesiapa pula yang mampu mengarang dan mencipta setanding dengan Al Quran. Ia adalah kalam Allah dan wahyu ilahi yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui malaikat mulia Jibril a.s. Disebabkan ia adalah kitab suci, dan wahyu ilahi sudah pasti tarafnya dan kedudukannya tinggi lagi mulia. Demi menjaga kedudukan dan tarafnya itulah maka terdapat pelbagai hukum berkaitan dengannya. Hukum bacaannya, tafsirannya, cara bacaannya, hukum orang yang membacanya, masa bacaannya, serta tempat yang baik untuk dibaca akannya dan lain- lain lagi. Oleh itu apabila anakku berkata abi saya haid dan tak boleh membaca Al quran sudah pasti ungkapan itu bukan untuk berlepas diri dan gembira kerana bisa ponteng membaca dan mengulang hafazan, malah sememangnya hati ingin membaca namun hajat terhalang kerana hukum orang haid tidak boleh membaca. Anakku... Tujuan hukum, asalnya adalah untuk memuliakan Al Quran, oleh itu hukum ini harus dilihat secara lebih mendalam agar kita tidak menghina Al quran dalam kita hendak memuliakan Al quran. Saya tidak nafikan yang hukum berkaitan permasalahan ini ada yang mengatakan haram dan pula yang mengatakan harus. Malah yang mengharamkan itu pula adalah majoriti para ulama termasuk para Imam mazhab. Biarlah abi nukilkan pendapat mereka yang mengharamkan bacaannya ke atas orang haid dan nifas.

1. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : orang haid dan orang nifas tidak boleh membaca Al Quran sedikitpun. (Riwayat Tirmizi)

2. Rasulullah s.a.w bersabda, bahawasanya orang yang berjunub tidak boleh membaca Al quran.

3. Ayat Al Quran dari surah Al waqiah, tidak menyentuh ia melainkan orang yang suci.

Dengan tiga dalil tersebut maka datanglah pendapat jumhur atau majoriti ulama yang mengharamkannya.

Manakala dalil mereka yang mengharuskan wanita haid membaca Al quran hanyalah golongan minoriti sahaja antaranya ialah Imam malik, As syaukani dan Ibn Taimiyyah. Dalil mereka adalah seperti berikut :

1. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : buatlah apa yang dilakukan oleh orang yang mengerjakan haji tetapi jangan kamu tawaf di Kaabah hinggalah kamu bersuci.

2. Hadis yang menjadi dalil jumhur iaitu orang haid dan dan nifas tidak boleh membaca Al quran, adalah hadis dhaif yang tidak boleh menjadi hujah hukum.

3. Mengqiaskan orang berjunub dengan orang yang haid adalah qias maal fariq kerana orang berjunub boleh mandi segera manakala orang haid pula terpaksa menunggu lama.

Oleh itu wahai puteriku, abi mengambil jalan pertengahan kerana sebaik baik perkara ialah jalan pertengahan. Abi berpendapat harus mengulang Al Quran yang telah dihafaz kerana menjaga Al Quran yang dihafaz adalah wajib berdasarkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w : aku dibentangkan dosa  ummatku dan aku tidak melihat dosa yang lebih besar daripada dosa melupai surah dan ayat Al quran. ( riwayat tirmizi). Menjaga hafazan juga salah satu tanda penghormatan dan kemuliaan Al quran. Manakala membaca Al Quran tanpa sebab munasabah atau semata mata untuk beribadah tidaklah harus, kerana keluar dari khilaf lebih baik. Kepada isteri abi dan guru guru saya yang bertungkus lumus mengajar Al Quran, bolehlah kalian mengajar anak akan Al Quran sekalipun dalam keadaan haid kerana nasib anak anak yang tidak diajar selama 3 hari atau lebih sudah pastinya nasib mereka tidak baik.

Memastikan anak anak membaca al quran, membaca dengan betul dan tidak melupakannya adalah penghormatan kepada Al Quran.


Moga anak anak gadisku, isteriku dan guru guru perempuanku serta kakak-kakak ku dan wanita mukminah yang lain, rajin membaca Al Quran hingga apabila datang saja haid rasa rindu untuk membacanya....


Ahad, 24 Februari 2013

Untukmu Islam yang ku cintai


Pilihanraya ke 13 ,tidak tahu bila akan diadakan, pastinya dengan izin Allah selewat - lewatnya bulan Jun nanti. Di mana saja pada waktu ini, sama ada di kedai kopi, di sekolah, di pejabat dan apatah lagi di Facebook semuanya sedang memperkatakannya. Suatu tarikh yang hanya diketahui Allah dan mungkin juga dibenak Perdana Menteri Malaysia 1 Malaysia. Kita sebagai rakyat akan menggunakan kuasa mengundi di dalam pilihanraya itu nanti. Siapa dan parti apa yang akan kita pilih hanya Allah jua yang mengetahuinya dan Dialah juga akan memberi balasan ke atas pilihan kita.


"Politik suku, agama suku" satu kefahaman yang salah kata guruku. Politik ada di dalam Islam, Islam agama yang lengkap dan sempurna. Itulah kefahaman yang saya peroleh sepanjang kehidupan saya sebagai muslim mukmin. Kefahaman ini datang, hasil usrah yang saya ikuti dan pengalaman bersama jamaah dari kepelbagaian jamaah Islam.
Allah Azza wa Jalla berfirman:

الْÙŠَÙˆْÙ…َ Ø£َÙƒْÙ…َÙ„ْتُ Ù„َÙƒُÙ…ْ دِينَÙƒُÙ…ْ ÙˆَØ£َتْÙ…َÙ…ْتُ عَÙ„َÙŠْÙƒُÙ…ْ Ù†ِعْÙ…َتِÙŠ Ùˆَرَضِيتُ Ù„َÙƒُÙ…ُ الإسْلامَ دِينًا
“ … Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agama-mu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku ridhai Islam sebagai agama bagimu …” [Al-Maa’idah: 3]


         Al-Hafizh Ibnu Katsir rahimahullah (wafat th. 774 H) menjelaskan,

“Ini merupakan nikmat Allah Azza wa Jalla terbesar yang diberikan kepada umat ini, tatkala Allah menyempurnakan agama mereka. Sehingga, mereka tidak memerlukan agama lain dan tidak pula Nabi lain selain Nabi mereka, yaitu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Oleh karena itu, Allah Azza wa Jalla menjadikan beliau sebagai penutup para Nabi dan mengutusnya kepada seluruh manusia dan jin. Sehingga, tidak ada yang halal kecuali yang beliau halalkan, tidak ada yang haram kecuali yang diharamkannya, dan tidak ada agama kecuali yang disyari’atkannya. Semua yang dikabarkannya adalah haq, benar, dan tidak ada kebohongan, serta tidak ada pertentangan sama sekali."

Kursus kefahaman Islam



Alhamdulillah saya dilahirkan dalam keluarga yang kuat berpegang dengan ajaran Islam. Ayahanda tersayang yang mendapat pendidikan Islam di pondok selama belasan tahun, telah menjadi seorang ayah yang soleh dan menjadi murabbi pertama saya. Abu Hurairah r.a meriwayatkan katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Ayahanda yang sarat dengan ilmu agama disamping kuat beribadah hingga saat malam sebelum menghembus nafas yang terakhir masih gagah untuk bangun bersolat tahajjud. Ahh..malunya diri ini bila mengenangkan amalan ayahanda. Saya masih ingat di saat ayahanda menghembuskan nafas yang terakhir ayahanda berkata, "ramainya orang  dilangit dan datang menziarahi beliau berpakaian putih", sedangkan ketika itu hanya saya dan ibu serta  beberapa orang saudara mara.

Moga Allah cucuri rahmat ke atas roh ayahanda tersayang. Ayahanda saya pernah bersama dengan jamaah Al arqam. Al Arqam suatu jamaah yang telah mempelopori Islam adalah cara hidup. Pada ketika ramai wanita mendedahkan aurat, Al arqam bangkit dengan mempromosi pakaian wanita berpurdah hitam, hingga hebohlah dengan gelaran hantu kum kum. Biar pun ditohmah dan di uji dengan kata kata kesat, namun dakwah Islam tetap diteruskan. Saya masih ingat apabila ayah menjadi wakil penjual surat khabar Al Arqam, majalah Al Qalam, majalah Al Ain, maka sayalah orang yang disuruh ayah menjualnya di sekolah, ke kampung- kampung dan perhentian bas.

Besar sungguh nikmat tarbiyyah yang diterima oleh saya ketika itu dalam usia saya cuma 10 tahun. Dalam usia semuda itu saya telah dididik agar tabah menghadapi ujian dan di minta oleh ayah untuk menghadiri Kursus Kefahaman Islam di Bagan Buaya. Berada di sana selama lebih kurang 3 hari, solat berjamaah, makan dalam talam, berzikir beramai ramai, doa bersama sama, ceramah, tazkirah dan pelbagai macam lagi aktiviti untuk mengukuhkan hubungan kita dengan Allah. Ketika disana, kami diingatkan bahawa Islam adalah cara hidup, dari bangun tidur hinggalah masuk tidur. Ustaz Abdul Halim Abbas, Ustaz Sobri, Ustaz Ahyan dan ramai lagi menekankan agar kami mengamalkan Islam. Yang paling terserlah ialah mereka menekankan berkaitan Islam dan ekonomi serta ibadah dan dakwah. Terima kasih Al Arqam kerana mengajar saya erti Islam dan perjuangan Islam di kala saya masih kecil. Namun jodoh kami dengan Al Arqam tidak bertahan apabila ayahanda merasakan Al Arqam ada masalah di dalam Aurad Muhamadiah lantas ayah mengikut jejak Al Marhum Ustaz Mokhtar dan keluar dari Al Arqam.




Keluar 3 hari....


" Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri mereka dan harta mereka dengan (balasan) syurga untuk mereka (disebabkan) mereka berperang dijalan Allah: maka (diantara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah didalam Taurat Injil dan Al-Qur’an; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualbelinya itu dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar."
(At-Taubah ayat 111).


Setelah berkecimpung dengan jamaah Al arqam ayah berjinak pula dengan jamaah Tabligh. Selaku anak bongsu dalam keluarga saya banyak bersama ayah. Anak bongsu lebih sedikit dimanjakan oleh emak dan ayah. Agak lama kami bersama jamaah Tabligh dan memahami perjalanan dakwahnya yang mudah dan mendapat tempat di hati ummat Islam. Saya mula belajar berpidato semasa mengikuti Bayan dan mengupas 6 prinsip tabligh. Seperti sebuah teks yang dibekalkan maka saya terus melafaz dan menghafalnya. Jamaah tabligh mengajar saya erti iktikaf di masjid, dakwah lisan dari rumah ke rumah, khidmat dan banyak lagi. Pengalaman diherdik dan dihalau merupakan pengalaman biasa bagi kami yang mengadakan gash waktu petang. Segala cubaan itu kami terima sebagai satu yang positif dan sering diingatkan agar kami berdoa didalam tahajjud kami agar Allah berikan hidayah kepada mereka.

Kesusahan Rasulullah s. a.w dan para sahabat menjadi bekalan kekuatan, sebab itu sebelum tidur ayah akan mengajak kami membaca dan mendengar kisah sahabat Rasulullah s.a.w. Terima kasih Tabligh kerana telah mengajar saya erti susahnya dakwah rumah ke rumah dan mengajar saya cara berpidato untuk perjuangan Islam. Hingga kini saya tetap bersyukur kerana masih ada orang seperti mereka. Moga Allah terima segala amalan baik mereka.

Reformasi bergema...



Arwah emak pernah memegang jawatan setiausaha wanita UMNO cawangan dan aktif menabur bakti kepada masyarakat. Emak pandai berpidato, bernasyid dan mengaji Al quran. Emak bercita cita menjadi guru dan alhamdulillah cita cita emak tercapai apabila dengan rasminya emak diterima sebagai guru kafa. Walaupun emak ahli UMNO tapi anak anak emak tidak seorang pun menjadi ahli UMNO. Emak sendiri bukanlah ahli UMNO hingga ke akhir hayatnya. Emak tidak lagi menjadi UMNO dan tidak lagi aktif sebagai ahli UMNO adalah berpunca daripada satu peristiwa yang tidak boleh saya ceritakan disini. Sememangnya UMNO dahulu banyak juga jasanya kepada Islam dan bangsa melayu. Namun ia bukanlah parti yang baik untuk orang melayu kerana dasarnya bukanlah Islam.

Kami adik beradik alhamdulillah, hasil didikan emak dan ayah telah berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Alhamdulilah abang dan kakak semuanya dapat memahami Islam sama ada melalui Tabligh, Abim, dan Jim. Manakala saya ketika menjejakkan kaki di Kolej Ugama Sultan zainal Abidin, saya telah memilih untuk bersama dengan Pas. Syukur pada Allah yang telah mempertemukan saya dengan jamaah Pas di Terengganu, yang mempunyai sistem tarbiyyah yang mantap dipelopori Ustaz Harun Taib sendiri berpusat di Kubang Lembik. Saya tidak perlu berfikir panjang untuk menjadi ahli Pas. Walaupun saya menjadi ahli Pas, saya masih tetap tidak suka menuduh jamaah lain salah dan sebagainya.

Saya paling tak suka jika orang jamaah Islam merendah rendahkan jamaah Islam yang lain. Saya berperinsip biarlah kita bertolong tolongan dalam perkara yang kita sepakati dan kita bermaafan dalam perkara yang kita bercanggah pendapat. Sepulangnya saya dari Mesir saya semakin aktif berpolitik dan berdakwah kerana ketika itu berlaku arus reformasi dengan pemecatan Dato Sri Anwar Ibrahim. Saya pulang sekitar 1997 dan peristiwa Reformasi pula mula tercetus 1998. Saya terlibat secara lansung di dalam Pas dengan memegang pelbagai jawatan Parti di peringkat cawangan, kawasan, MTD dan negeri. Memori berceramah bersama Mak Yan ibu DSAI tidak dapat saya lupakan. Kasih seorang ibu mempertahankan anak kesayangannya dari diaib dan difitnah mengajar saya betapa besar kasih dan pengorbanan seorang ibu. Biar pun dalam keuzuran Al marhumah Mak Yan tetap tabah ke hulu dan ke hilir demi menyatakan kebenaran. Seorang lagi insan yang tidak dapat saya lupakan ialah Pak Lang adik ipar DSAI yang juga telah pergi menemui Allah swt sebagai seorang pejuang. Ramai dikalangan rakan rakan saya dalam Pas peringkat kawasan terutama barisan pemuda dan kami telah bersama sama berjuang agar BN dapat dikalahkan namun malangnya 1999 PRU ketika itu keputusannya tidak memihak kepada BA ( baca : Barisan Alternatif ).

Mengubah Haluan...

Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat ke-122 bermaksud, 
“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menajga dirinya.”
Ayat ini menjelaskan mengenai kepentingan jihad dalam pengajaran. Jihad menegakkan kalimah Allah bukanlah hanya melalui jalan politik sahaja, pelbagai jalan boleh dilakukan terutama melalui pendidikan. Atas asas ini saya mula berkecimpung di dalam Institusi Pendidikan Islam. Saya ingin mencetak para pejuang Islam dan pejuang Pas atau Abim atau apa sahaja. Apakah jika mereka ke Indonesia mereka tetap akan memperjuangkan Pas? Tidak ada Pas disana, tidak ada Jim disana tapi yang ada ialah Islam. Oleh itu saya mahu anak anak murid saya menjadi pejuang Islam yang tulin mengikut manhaj yang sahih.


Dari seorang ahli Pas saya mendaftar pula sebagai ahli Isma dan yang terkini Ikram. Sepanjang menguruskan sebuah sekolah Islam, saya aktif dengan Pas dan Isma hingga PRU 2004. Selepas itu saya kurang berminat lagi untuk berjuang di dalam politik namun saya tetap dengan Pas. Hari ini saya telah meninggalkan Isma dan bersama aktif dengan pertubuhan Ikram. Alhamdulillah keputusan saya untuk tidak bersama Isma rasanya keputusan yang benar apabila melihat rentak tari Isma hari ini yang lebih menampakkan sokongan UMNO BN. Saya bukanlah membenci orang UMNO BN kerana mereka juga muslim mukmin seperti saya. Saya bukan membenci sahabat sahabat Isma kerana mereka adalah teman-teman seusrah dengan saya. Cuma cara kefahaman saya dan keyakinan saya sudah tidak sama dengan mereka apatah lagi UMNO BN yang jelas dasarnya bukan dasar Islam. Kini gelombang PRU13 semakin bergelora, ributnya sudah terasa sepoi-sepoi mendatang, kepanasannya sudah mula terasa habanya, namun saya disini sebagai pendidik akan tetap dengan peranan seorang pendidik dan pendakwah. Pendirian untuk menyokong PR bukanlah menjadi lesen untuk mengiakan semua yang dilakukan oleh mereka. Mereka juga makhluk dan bukan tuhan, pasti ada salah dan silap yang mesti ditegur. Begitu juga pendirian untuk tidak menyokong UMNO BN, yang terlalu banyak salah dan silap serta sudah terlalu lama berkuasa, sehingga sanggup menarik bantuan SAR,

Menghapus tulisan jawi dan banyak lagi, tidak pula menjadi tiket untuk membenci semua program yang dianjurkan oleh pihakUMNO BN . Buat masa ini eloklah UMNO BN belajar dengan kekalahan dalam PRU 13 agar mereka tahu erti derita dan susah. Moga Allah berikan kemenangan kepada PR, dan menginsafkan UMNO BN. Namun hanya Allah jua yang tahu siapa yang akan menang. Siapa pun yang menang saya tetap disini memperjuangkan Islam, kerana dari kecil diriku sudah terasuh dengan perjuangan ini. Ya Allah tetapkanlah hati dan jiwa kami diatas jalan perjuanganmu...Amin dengan ungkapan "Untukmu Islam Yang Aku Cintai..."

Jumaat, 22 Februari 2013

Kemboja Tetap di hatiku

Semasa saya dibangku sekolah dahulu, pernah juga mempelajari tentang sungai di asia dan di dunia dan ketika itu nama seperti Sungai Mekong telah pun disebut oleh guru saya. Namun saya tidak pernah bermimpi bahawa suatu hari nanti saya akan bermalam di kampung sekitar Sungai Mekong apatah lagi menyeberang dan menikmati ikan-ikannya. Sememangnya segala kehidupan kita ini adalah penentuan dari Allah yang maha esa. Ada yang kita impikan tetapi tidak kita capai, ada yang cuma angan-angan namun kita mencapainya dan ada yang kita bercita cita dan berusaha penuh tapi kecundang untuk mendapatkannya. Itulah yang dikatakan taqdir, biarlah seluruh manusia berkumpul dan bersatu untuk membantu agar harapan dan cita kita tercapai, namun Allah tidak mengkehendakinya pasti tidak akan tercapai. Perkara inilah yang diungkapkan oleh Rasulullah s.a.w kepada ibnu abbas.

Daripada Abu Abbas, Abdullah bin Abbas r.a :

Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah SAW ( di atas binatang tunggangannya ), lalu sabda baginda :

‘Wahai anak kecil, sesungguhnya aku telah mengajar kamu beberapa perkataan.
Peliharalah ( perintah ) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu..
peliharalah ( kehormatan ) Allah, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu..

Jika engkau memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata. Jika engkau meminta pertolongan mintalah kepada Allah semata-mata..

Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu menafaat, nescaya mereka tidak akan mampu memberi menafaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditaqdirkan oleh Allah..

Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan suatu mudharat untuk kamu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu..

Telah diangkat kalam ( tulisan ) dan telah kering ( tinta ) buku catitan".


(Riwayat Tirmizi) 


Sesuatu yang terjadi dalam hidup ini adalah hasil percaturan dan hukum Allah swt. Saya dan kemboja mula berputik hubungan, adalah bermula dengan kehadiran saya di Persidangan Sekolah- Sekolah  Tahfiz Asia Pasifik di Kelantan. Semasa disana saya telah bertemu dengan Mohamad Suleiman dari Kemboja dan kami berbual mesra di sebuah meja makan ketika sarapan pagi di hotel penginapan. Itulah awal pertemuan dan perhubungan saya dengan negara Kemboja khususnya umat islam disana. Walaupun selama ini saya telah pun mengenali ramai orang kemboja yang datang ke Malaysia dan menjadi rakyat Malaysia. Namun hubungan ini rasa seperti ada sedikit kelainan kerana pertemuan kami disitu ialah demi memartabatkan pendidikan Al Quran. Semenjak dari pertemuan itu saya pun mulai terfikir untuk membantu masyarakat Islam Kemboja khususnya dalam bidang pendidikan. Biar pun Sekolah Tahfiz Al Islah yang sedang saya uruskan ketika itu masih terlalu muda dan baru berusia 5 tahun namun dengan falsafah yang saya pegang, Jika kita membantu orang Allah pasti akan membantu kita. Saya berfikir apalah salahnya jika sama sama membantu agama Allah. 

Memori ketika sedang membuat perbincangan dengan guru sekolah di Cumnik

Mesyuarat diadakan...

Sepulangnya saya daripada Multaqa Maahad Tahfiz Asia Pasifik itu saya pun mengadakan mesyuarat bersama rakan rakan Jemaah Pengurus Sekolah dan saya menyatakan hasrat untuk mengadakan Program Ibadah Korban di Kemboja dan hasil lebihan korban itu akan disumbangkan ke dalam tabung kebajikan sekolah disamping tabung ummat islam disana. Pihak Jemaah Pengurusan Sekolah bersetuju dan telah menghantar saya dan Tuan Hj Ibrahim bin Hasan untuk meninjau keadaan disana dan berkenalan secara lebih dekat dengan orang di sana. Pada tahun 2005 , kami cuma berpeluang mengumpul sedikit kutipan derma untuk diagihkan kepada ummat Islam disana tanpa membawa barangan yang banyak. Turut serta ketika itu ialah Tuan Hj. Ir. Zakiyuddin dan peguam Rosidi Husin. Mulai lawatan pertama tersebut hinggalah sekarang boleh dikatakan sudah 11 kali saya ke sana dan insyallah saya akan terus ke sana sehingga ummat Islam dapat menjadi ummat yang disegani dan Islam dapat dikembangkan disana. Mulai dengan ibadah korban secara kecilan dgn jumlah puluhan ekor kini menjangkau ratusan ekor, daripada Program Ibadah Korban, saya mengorak langkah membawa masuk pelajar pelajar miskin dari Kemboja dan Aceh untuk bersekolah di Sekolah Tahfiz Al-Islah (STAIL)  dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz (SMART). Alhamdulillah usaha mendidik anak- anak ini pastinya akan menambahkan lagi lompatan untuk menjadikan ummat Islam Kemboja sebagai ummat yang terbaik di Kemboja.

Lawatan ke sekolah rendah kerajaan di Kemboja yg terdapat ditempatkan di dalam kawasan Wat Buddha



Photo: Para pelajar sedang mengucapkan selamat datang kepada rombongan kami
Para pelajar sedang mengucapkan selamat datang kepada rombongan kami

Photo: Lawatan kali ini bersama bekas pengarah pelajaran negeri pulau pinang
Lawatan kali ini bersama bekas Pengarah Pelajaran Negeri Pulau Pinang

Akhirnya....

Kelmarin 21 Februari saya baru saja pulang dari Kemboja dan telah mendapat satu keputusan bersama dengan masyrakat di Cumnik untuk menubuhkan sebuah Pra Sekolah disana. Masyarakat kampung belum pernah tahu apa itu Pra Sekolah. Apatah lagi kali ini saya mengenakan yuran pengajian sebanyak 2 kilo beras setiap bulan. Projek akan menelan belanja untuk tahun pertama sebanyak RM 40 ribu dan berikutnya RM 15 ribu. Idea penubuhan Pra Sekolah ini tercetus semasa saya membawa pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang dan bekas Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang tahun lepas iaitu tahun 2012 ke Program Ibadah Korban di Kemboja. Tahun lepas kami pergi dengan menaiki kenderaan darat dengan jumlah ahli rombongan seramai 15 orang. Saya berterima kasih kepada tuan pengarah dan Dato' Matan Pengarah yang sudi membantu menjayakan Program Ibadah Korban tersebut dan bersetuju untuk membantu menjayakan projek penubuhan Pra Sekolah pertama di kawasan perkampungan. Jalan darat, jalan laut, berkereta mahupun dengan pesawat sudah pun saya tempuhi. Dari tanpa mempunyai tanah, kini sudah ada tanah di Stung Treng sebanyak 13 hektar, dari Koh Kong hinggalah ke Ratnakiri, dari Phnom Phen hinggalah ke Siem Reap hampir 3/4 Kemboja sudah saya jelajahi demi mencari redha Allah. Kesusahan mereka menginsafkan saya bahwa mereka lebih baik dari saya kerana dalam kegelapan tanpa cahaya lampu kerana tiada elektrik dan kesejukan pagi, masjid mereka ramai yang datang berjemaah. Kemboja mengajar saya erti keilmuan sebenar iaitu keilmuan dan akhlak, tiada mat rempit tiada bohsia bohjan berpelisiran. Anak anak dara dirumah membantu ibu bapa. 


Kemboja mengajar saya erti  kekayaan,kerana biar pun mereka miskin tapi mereka punya rumah sendiri tanpa hutang. Kemboja mengajar saya erti kesyukuran dengan kemiskinan dan kesusahan mereka namun mereka tetap sujud pada rabbul jalil Allah. 

Kemboja tetap dihatiku untuk daku terus ke sana menyumbang bakti buat bekalan diakhirat nanti. Terima kasih sahabatku Mohamad Suleiman, Che Din, Mustafa, Ali, pak cik Ibrahim dan ramai lagi....

moga Ummat Islam kemboja bangkit dari buaian kejahilan kepada kemuliaan ilmu. Siapa doktor di sana kalau orang Islam, siapa jurutera di sana kalau bukan orang Islam, siapa guru di sekolah kerajaan kalau bukan orang Islam, siapa peguam kalau bukan orang Islam. Biar pun minoriti namun ummat Islam mampu bangkit dan bangun dengan ilmu dan pendidikan bukan dengan simpati ibadah korban.

Saya sering katakan pada mereka,

"hari ini saya bawa korban dari malaysia nanti suatu hari saya mahu pula makan daging korban saudara kemboja. Orang malaysia tak perlu lagi mengadakan ibadah korban disana....bila?? Insyallah pada suatu masa yang hanya Allah jua yang tahu...kita akan terus berusaha...."

 Moga Kemboja yang dihatiku akan berubah seperti impianku...

Kemboja  tetap dihatiku..