Rabu, 27 Februari 2013

Wanita dan Al quran





Malam itu saya dan ayah meredah kesejukan malam menuju ke rumah Syed Ali, seorang guru Al Quran dengan hanya bermotorsikal. Ketika itu mana ada kereta seperti sekarang, semuanya hidup dalam keadaan susah. Seperti biasa saya yang masih kecil suka duduk di hadapan, didalam raga motor kapcai ayah jenis Honda 70cc dengan plat nombor PV 3605. Tidak berapa lama akhirnya kami pun sampai di rumah rumah ustaz Syed Ali seorang guru Al Quran yang cacat anggota tapi pandai dengan ilmu Al quran. Rumahnya terletak di Kampung Titi Serong. Kehidupan kami sekeluarga sememangnya dihiasi dengan Al Quran, cuma ketika itu ayah tidak memberatkan saya untuk menghafaz Al Quran kecuali surah surah lazim sahaja. Pulang sahaja ke rumah ayah akan memutarkan kembali rakaman yang dibuat dengan menggunakan player mahal berjenama National. Kami pun ikut serta mendengar dan cuba membetulkan bacaan bacaan kami.

Memori dahulu berlalu pergi...hari ini satu realiti

Hari ini anak anakku sudah semakin membesar, ada putera dan ada pula puteri manja. Alhamdulillah kalau nak dikira pula anak anak muridku bukan 5 tapi 900 orang ramainya, bermula dari usia 3 tahun hinggalah 19 tahun ada yang puteri dan ada pula yang putera. Jika dahulu ayah dan ibu mendidik daku dengan Al Quran, pastinya daku juga ingin mendidik anak anakku dengan Al Quran begitulah juga dengan anak anak didikku. Zaman semakin berubah, kalau dulu telefon cuma ada di kilang padi sebuah kampung, pondok telefon di balai polis atau pun di rumah orang kaya estet. Tapi kini alat telekomunikasi semakin canggih, telefon sudah ditangan, dari korporat besar hinggalah mak cik penggoreng pisang. Internet ada di mana mana, Al Quran bukan cuma sebuah kitab tetapi kini sudah ada yang digitalnya, telefon bimbit juga sudah boleh mengisi dengan perisian Al Quran. Ilmu perbandingan agama, mazhab menjadi mudah, sampai pening pening para ustaz dan ulama nak menjawab persoalan yang dikemukakan. Itulah realiti hidup kini, sekarang bukan lagi tahun 1980, anak anak juga sudah semakin ke hadapan sama ada dari segi ilmu atau pun kefahaman. Dengan realiti baru dan suasana dunia serba baru, timbul pula pelbagai persoalan dikalangan anak anak gadisku. 



Bacalah Al quran...





"Bolehkah membaca Al Quran ketika kami kedatangan haid ?" Persoalan itu bukanlah persoalan baru, kerana perbahasannya sudah ada di dalam kitab kitab para ulama. Cuma persoalan ini, menjadi bualan anak anak puteriku serta guru gurunya apabila saya menyuruh mereka tetap membaca Al quran dan mengulang hafazan yang telah mereka hafaz. Membaca dan menghafaz Al Quran dijanjikan ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah s.w.t. Malanglah bagi mereka para wanita dan gadis gadis serta puteri puteriku apabila selama mungkin 3 hari atau 7 hari atau mungkin juga hingga 15 hari tidak dapat membaca dan menghafaz Al quran. Apa yang akan terjadi kepada hafazan puteri puteriku jika haid mereka melewati hingga hari ke 15? Pada zaman yang serba moden dan canggih ini, apakah kita masih terikat dengan satu pandangan sehingga kadang kadang pandangan tersebut memberi mudharat kepada kita. Hukum larangan  ini, bukanlah  satu hukuman yang putus seperti pengharaman arak dan babi, ia masih lagi dalam linkungan kekhilafan para ulama. Namun begitu saya amat gembira apabila anak anak puteri saya, amat perihatin dengan bacaan Al quran. Orang yang bertanya berkaitan hukum ini pastilah mereka yang rajin membaca Al Quran. Orang yang rajin membaca Al Quran sudah pasti tarafnya tidak sama dengan mereka yang malas membaca Al Quran. 

Ketika Rasulullah s.a.w hendak mengebumikan jenazah syuhada yang terkorban rasulullah telah bertanya siapa dikalangan yang terkorban itu, mempunyai kelebihan dari hafazan Al Qurannya, akan didahulukan pengebumiannya. Jika diqiaskan kepada pemilihan isteri atau suami maka sudah pasti mereka yang mempunyai kelebihan dalam hafazan Al Quran itu yang didahulukan. Diantara kelebihan menjadi pedamping Al Quran sama ada membaca atau menghafaznya adalah seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w.

“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli Al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)

Terdapat banyak lagi kelebihan membaca dan menghafaz Al Quran.


Saya haid kata anakku...


Al Quran bukanlah sebuah karangan ilmiah, bukan juga sebuah buku sejarah tinggalan lama dan tiada sesiapa pula yang mampu mengarang dan mencipta setanding dengan Al Quran. Ia adalah kalam Allah dan wahyu ilahi yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui malaikat mulia Jibril a.s. Disebabkan ia adalah kitab suci, dan wahyu ilahi sudah pasti tarafnya dan kedudukannya tinggi lagi mulia. Demi menjaga kedudukan dan tarafnya itulah maka terdapat pelbagai hukum berkaitan dengannya. Hukum bacaannya, tafsirannya, cara bacaannya, hukum orang yang membacanya, masa bacaannya, serta tempat yang baik untuk dibaca akannya dan lain- lain lagi. Oleh itu apabila anakku berkata abi saya haid dan tak boleh membaca Al quran sudah pasti ungkapan itu bukan untuk berlepas diri dan gembira kerana bisa ponteng membaca dan mengulang hafazan, malah sememangnya hati ingin membaca namun hajat terhalang kerana hukum orang haid tidak boleh membaca. Anakku... Tujuan hukum, asalnya adalah untuk memuliakan Al Quran, oleh itu hukum ini harus dilihat secara lebih mendalam agar kita tidak menghina Al quran dalam kita hendak memuliakan Al quran. Saya tidak nafikan yang hukum berkaitan permasalahan ini ada yang mengatakan haram dan pula yang mengatakan harus. Malah yang mengharamkan itu pula adalah majoriti para ulama termasuk para Imam mazhab. Biarlah abi nukilkan pendapat mereka yang mengharamkan bacaannya ke atas orang haid dan nifas.

1. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : orang haid dan orang nifas tidak boleh membaca Al Quran sedikitpun. (Riwayat Tirmizi)

2. Rasulullah s.a.w bersabda, bahawasanya orang yang berjunub tidak boleh membaca Al quran.

3. Ayat Al Quran dari surah Al waqiah, tidak menyentuh ia melainkan orang yang suci.

Dengan tiga dalil tersebut maka datanglah pendapat jumhur atau majoriti ulama yang mengharamkannya.

Manakala dalil mereka yang mengharuskan wanita haid membaca Al quran hanyalah golongan minoriti sahaja antaranya ialah Imam malik, As syaukani dan Ibn Taimiyyah. Dalil mereka adalah seperti berikut :

1. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : buatlah apa yang dilakukan oleh orang yang mengerjakan haji tetapi jangan kamu tawaf di Kaabah hinggalah kamu bersuci.

2. Hadis yang menjadi dalil jumhur iaitu orang haid dan dan nifas tidak boleh membaca Al quran, adalah hadis dhaif yang tidak boleh menjadi hujah hukum.

3. Mengqiaskan orang berjunub dengan orang yang haid adalah qias maal fariq kerana orang berjunub boleh mandi segera manakala orang haid pula terpaksa menunggu lama.

Oleh itu wahai puteriku, abi mengambil jalan pertengahan kerana sebaik baik perkara ialah jalan pertengahan. Abi berpendapat harus mengulang Al Quran yang telah dihafaz kerana menjaga Al Quran yang dihafaz adalah wajib berdasarkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w : aku dibentangkan dosa  ummatku dan aku tidak melihat dosa yang lebih besar daripada dosa melupai surah dan ayat Al quran. ( riwayat tirmizi). Menjaga hafazan juga salah satu tanda penghormatan dan kemuliaan Al quran. Manakala membaca Al Quran tanpa sebab munasabah atau semata mata untuk beribadah tidaklah harus, kerana keluar dari khilaf lebih baik. Kepada isteri abi dan guru guru saya yang bertungkus lumus mengajar Al Quran, bolehlah kalian mengajar anak akan Al Quran sekalipun dalam keadaan haid kerana nasib anak anak yang tidak diajar selama 3 hari atau lebih sudah pastinya nasib mereka tidak baik.

Memastikan anak anak membaca al quran, membaca dengan betul dan tidak melupakannya adalah penghormatan kepada Al Quran.


Moga anak anak gadisku, isteriku dan guru guru perempuanku serta kakak-kakak ku dan wanita mukminah yang lain, rajin membaca Al Quran hingga apabila datang saja haid rasa rindu untuk membacanya....


0 comments:

Catat Ulasan