Ahad, 24 Februari 2013

Untukmu Islam yang ku cintai


Pilihanraya ke 13 ,tidak tahu bila akan diadakan, pastinya dengan izin Allah selewat - lewatnya bulan Jun nanti. Di mana saja pada waktu ini, sama ada di kedai kopi, di sekolah, di pejabat dan apatah lagi di Facebook semuanya sedang memperkatakannya. Suatu tarikh yang hanya diketahui Allah dan mungkin juga dibenak Perdana Menteri Malaysia 1 Malaysia. Kita sebagai rakyat akan menggunakan kuasa mengundi di dalam pilihanraya itu nanti. Siapa dan parti apa yang akan kita pilih hanya Allah jua yang mengetahuinya dan Dialah juga akan memberi balasan ke atas pilihan kita.


"Politik suku, agama suku" satu kefahaman yang salah kata guruku. Politik ada di dalam Islam, Islam agama yang lengkap dan sempurna. Itulah kefahaman yang saya peroleh sepanjang kehidupan saya sebagai muslim mukmin. Kefahaman ini datang, hasil usrah yang saya ikuti dan pengalaman bersama jamaah dari kepelbagaian jamaah Islam.
Allah Azza wa Jalla berfirman:

الْÙŠَÙˆْÙ…َ Ø£َÙƒْÙ…َÙ„ْتُ Ù„َÙƒُÙ…ْ دِينَÙƒُÙ…ْ ÙˆَØ£َتْÙ…َÙ…ْتُ عَÙ„َÙŠْÙƒُÙ…ْ Ù†ِعْÙ…َتِÙŠ Ùˆَرَضِيتُ Ù„َÙƒُÙ…ُ الإسْلامَ دِينًا
“ … Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agama-mu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku ridhai Islam sebagai agama bagimu …” [Al-Maa’idah: 3]


         Al-Hafizh Ibnu Katsir rahimahullah (wafat th. 774 H) menjelaskan,

“Ini merupakan nikmat Allah Azza wa Jalla terbesar yang diberikan kepada umat ini, tatkala Allah menyempurnakan agama mereka. Sehingga, mereka tidak memerlukan agama lain dan tidak pula Nabi lain selain Nabi mereka, yaitu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Oleh karena itu, Allah Azza wa Jalla menjadikan beliau sebagai penutup para Nabi dan mengutusnya kepada seluruh manusia dan jin. Sehingga, tidak ada yang halal kecuali yang beliau halalkan, tidak ada yang haram kecuali yang diharamkannya, dan tidak ada agama kecuali yang disyari’atkannya. Semua yang dikabarkannya adalah haq, benar, dan tidak ada kebohongan, serta tidak ada pertentangan sama sekali."

Kursus kefahaman Islam



Alhamdulillah saya dilahirkan dalam keluarga yang kuat berpegang dengan ajaran Islam. Ayahanda tersayang yang mendapat pendidikan Islam di pondok selama belasan tahun, telah menjadi seorang ayah yang soleh dan menjadi murabbi pertama saya. Abu Hurairah r.a meriwayatkan katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Ayahanda yang sarat dengan ilmu agama disamping kuat beribadah hingga saat malam sebelum menghembus nafas yang terakhir masih gagah untuk bangun bersolat tahajjud. Ahh..malunya diri ini bila mengenangkan amalan ayahanda. Saya masih ingat di saat ayahanda menghembuskan nafas yang terakhir ayahanda berkata, "ramainya orang  dilangit dan datang menziarahi beliau berpakaian putih", sedangkan ketika itu hanya saya dan ibu serta  beberapa orang saudara mara.

Moga Allah cucuri rahmat ke atas roh ayahanda tersayang. Ayahanda saya pernah bersama dengan jamaah Al arqam. Al Arqam suatu jamaah yang telah mempelopori Islam adalah cara hidup. Pada ketika ramai wanita mendedahkan aurat, Al arqam bangkit dengan mempromosi pakaian wanita berpurdah hitam, hingga hebohlah dengan gelaran hantu kum kum. Biar pun ditohmah dan di uji dengan kata kata kesat, namun dakwah Islam tetap diteruskan. Saya masih ingat apabila ayah menjadi wakil penjual surat khabar Al Arqam, majalah Al Qalam, majalah Al Ain, maka sayalah orang yang disuruh ayah menjualnya di sekolah, ke kampung- kampung dan perhentian bas.

Besar sungguh nikmat tarbiyyah yang diterima oleh saya ketika itu dalam usia saya cuma 10 tahun. Dalam usia semuda itu saya telah dididik agar tabah menghadapi ujian dan di minta oleh ayah untuk menghadiri Kursus Kefahaman Islam di Bagan Buaya. Berada di sana selama lebih kurang 3 hari, solat berjamaah, makan dalam talam, berzikir beramai ramai, doa bersama sama, ceramah, tazkirah dan pelbagai macam lagi aktiviti untuk mengukuhkan hubungan kita dengan Allah. Ketika disana, kami diingatkan bahawa Islam adalah cara hidup, dari bangun tidur hinggalah masuk tidur. Ustaz Abdul Halim Abbas, Ustaz Sobri, Ustaz Ahyan dan ramai lagi menekankan agar kami mengamalkan Islam. Yang paling terserlah ialah mereka menekankan berkaitan Islam dan ekonomi serta ibadah dan dakwah. Terima kasih Al Arqam kerana mengajar saya erti Islam dan perjuangan Islam di kala saya masih kecil. Namun jodoh kami dengan Al Arqam tidak bertahan apabila ayahanda merasakan Al Arqam ada masalah di dalam Aurad Muhamadiah lantas ayah mengikut jejak Al Marhum Ustaz Mokhtar dan keluar dari Al Arqam.




Keluar 3 hari....


" Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri mereka dan harta mereka dengan (balasan) syurga untuk mereka (disebabkan) mereka berperang dijalan Allah: maka (diantara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah didalam Taurat Injil dan Al-Qur’an; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualbelinya itu dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar."
(At-Taubah ayat 111).


Setelah berkecimpung dengan jamaah Al arqam ayah berjinak pula dengan jamaah Tabligh. Selaku anak bongsu dalam keluarga saya banyak bersama ayah. Anak bongsu lebih sedikit dimanjakan oleh emak dan ayah. Agak lama kami bersama jamaah Tabligh dan memahami perjalanan dakwahnya yang mudah dan mendapat tempat di hati ummat Islam. Saya mula belajar berpidato semasa mengikuti Bayan dan mengupas 6 prinsip tabligh. Seperti sebuah teks yang dibekalkan maka saya terus melafaz dan menghafalnya. Jamaah tabligh mengajar saya erti iktikaf di masjid, dakwah lisan dari rumah ke rumah, khidmat dan banyak lagi. Pengalaman diherdik dan dihalau merupakan pengalaman biasa bagi kami yang mengadakan gash waktu petang. Segala cubaan itu kami terima sebagai satu yang positif dan sering diingatkan agar kami berdoa didalam tahajjud kami agar Allah berikan hidayah kepada mereka.

Kesusahan Rasulullah s. a.w dan para sahabat menjadi bekalan kekuatan, sebab itu sebelum tidur ayah akan mengajak kami membaca dan mendengar kisah sahabat Rasulullah s.a.w. Terima kasih Tabligh kerana telah mengajar saya erti susahnya dakwah rumah ke rumah dan mengajar saya cara berpidato untuk perjuangan Islam. Hingga kini saya tetap bersyukur kerana masih ada orang seperti mereka. Moga Allah terima segala amalan baik mereka.

Reformasi bergema...



Arwah emak pernah memegang jawatan setiausaha wanita UMNO cawangan dan aktif menabur bakti kepada masyarakat. Emak pandai berpidato, bernasyid dan mengaji Al quran. Emak bercita cita menjadi guru dan alhamdulillah cita cita emak tercapai apabila dengan rasminya emak diterima sebagai guru kafa. Walaupun emak ahli UMNO tapi anak anak emak tidak seorang pun menjadi ahli UMNO. Emak sendiri bukanlah ahli UMNO hingga ke akhir hayatnya. Emak tidak lagi menjadi UMNO dan tidak lagi aktif sebagai ahli UMNO adalah berpunca daripada satu peristiwa yang tidak boleh saya ceritakan disini. Sememangnya UMNO dahulu banyak juga jasanya kepada Islam dan bangsa melayu. Namun ia bukanlah parti yang baik untuk orang melayu kerana dasarnya bukanlah Islam.

Kami adik beradik alhamdulillah, hasil didikan emak dan ayah telah berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Alhamdulilah abang dan kakak semuanya dapat memahami Islam sama ada melalui Tabligh, Abim, dan Jim. Manakala saya ketika menjejakkan kaki di Kolej Ugama Sultan zainal Abidin, saya telah memilih untuk bersama dengan Pas. Syukur pada Allah yang telah mempertemukan saya dengan jamaah Pas di Terengganu, yang mempunyai sistem tarbiyyah yang mantap dipelopori Ustaz Harun Taib sendiri berpusat di Kubang Lembik. Saya tidak perlu berfikir panjang untuk menjadi ahli Pas. Walaupun saya menjadi ahli Pas, saya masih tetap tidak suka menuduh jamaah lain salah dan sebagainya.

Saya paling tak suka jika orang jamaah Islam merendah rendahkan jamaah Islam yang lain. Saya berperinsip biarlah kita bertolong tolongan dalam perkara yang kita sepakati dan kita bermaafan dalam perkara yang kita bercanggah pendapat. Sepulangnya saya dari Mesir saya semakin aktif berpolitik dan berdakwah kerana ketika itu berlaku arus reformasi dengan pemecatan Dato Sri Anwar Ibrahim. Saya pulang sekitar 1997 dan peristiwa Reformasi pula mula tercetus 1998. Saya terlibat secara lansung di dalam Pas dengan memegang pelbagai jawatan Parti di peringkat cawangan, kawasan, MTD dan negeri. Memori berceramah bersama Mak Yan ibu DSAI tidak dapat saya lupakan. Kasih seorang ibu mempertahankan anak kesayangannya dari diaib dan difitnah mengajar saya betapa besar kasih dan pengorbanan seorang ibu. Biar pun dalam keuzuran Al marhumah Mak Yan tetap tabah ke hulu dan ke hilir demi menyatakan kebenaran. Seorang lagi insan yang tidak dapat saya lupakan ialah Pak Lang adik ipar DSAI yang juga telah pergi menemui Allah swt sebagai seorang pejuang. Ramai dikalangan rakan rakan saya dalam Pas peringkat kawasan terutama barisan pemuda dan kami telah bersama sama berjuang agar BN dapat dikalahkan namun malangnya 1999 PRU ketika itu keputusannya tidak memihak kepada BA ( baca : Barisan Alternatif ).

Mengubah Haluan...

Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat ke-122 bermaksud, 
“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menajga dirinya.”
Ayat ini menjelaskan mengenai kepentingan jihad dalam pengajaran. Jihad menegakkan kalimah Allah bukanlah hanya melalui jalan politik sahaja, pelbagai jalan boleh dilakukan terutama melalui pendidikan. Atas asas ini saya mula berkecimpung di dalam Institusi Pendidikan Islam. Saya ingin mencetak para pejuang Islam dan pejuang Pas atau Abim atau apa sahaja. Apakah jika mereka ke Indonesia mereka tetap akan memperjuangkan Pas? Tidak ada Pas disana, tidak ada Jim disana tapi yang ada ialah Islam. Oleh itu saya mahu anak anak murid saya menjadi pejuang Islam yang tulin mengikut manhaj yang sahih.


Dari seorang ahli Pas saya mendaftar pula sebagai ahli Isma dan yang terkini Ikram. Sepanjang menguruskan sebuah sekolah Islam, saya aktif dengan Pas dan Isma hingga PRU 2004. Selepas itu saya kurang berminat lagi untuk berjuang di dalam politik namun saya tetap dengan Pas. Hari ini saya telah meninggalkan Isma dan bersama aktif dengan pertubuhan Ikram. Alhamdulillah keputusan saya untuk tidak bersama Isma rasanya keputusan yang benar apabila melihat rentak tari Isma hari ini yang lebih menampakkan sokongan UMNO BN. Saya bukanlah membenci orang UMNO BN kerana mereka juga muslim mukmin seperti saya. Saya bukan membenci sahabat sahabat Isma kerana mereka adalah teman-teman seusrah dengan saya. Cuma cara kefahaman saya dan keyakinan saya sudah tidak sama dengan mereka apatah lagi UMNO BN yang jelas dasarnya bukan dasar Islam. Kini gelombang PRU13 semakin bergelora, ributnya sudah terasa sepoi-sepoi mendatang, kepanasannya sudah mula terasa habanya, namun saya disini sebagai pendidik akan tetap dengan peranan seorang pendidik dan pendakwah. Pendirian untuk menyokong PR bukanlah menjadi lesen untuk mengiakan semua yang dilakukan oleh mereka. Mereka juga makhluk dan bukan tuhan, pasti ada salah dan silap yang mesti ditegur. Begitu juga pendirian untuk tidak menyokong UMNO BN, yang terlalu banyak salah dan silap serta sudah terlalu lama berkuasa, sehingga sanggup menarik bantuan SAR,

Menghapus tulisan jawi dan banyak lagi, tidak pula menjadi tiket untuk membenci semua program yang dianjurkan oleh pihakUMNO BN . Buat masa ini eloklah UMNO BN belajar dengan kekalahan dalam PRU 13 agar mereka tahu erti derita dan susah. Moga Allah berikan kemenangan kepada PR, dan menginsafkan UMNO BN. Namun hanya Allah jua yang tahu siapa yang akan menang. Siapa pun yang menang saya tetap disini memperjuangkan Islam, kerana dari kecil diriku sudah terasuh dengan perjuangan ini. Ya Allah tetapkanlah hati dan jiwa kami diatas jalan perjuanganmu...Amin dengan ungkapan "Untukmu Islam Yang Aku Cintai..."

0 comments:

Catat Ulasan