Bismillahirrahmanirrahim

"Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani" - Surah Al-fatihah : ayat 1

Pencari Jiwa-jiwa Muda

"Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa2 muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah banggunan tersergam indah.."- Imam Hassan Al Banna

Generasi Awal Sek Tahfiz Al-Islah

"Sesungguhnya aku amat meridui seorang pemuda/pemudi yang tidak tidur lena kerana memikirkan masalah ummah.." - Imam Hassan Al Banna

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.This theme is Bloggerized by Lasantha Bandara - Premiumbloggertemplates.com.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.This theme is Bloggerized by Lasantha Bandara - Premiumbloggertemplates.com.

Khamis, 26 Mei 2011

Memori Ketiga



Ungkapan Innalillah.... terungkapan apabila melihat berita tanah runtuh yang membabitkan anak-anak yatim di Ulu Langat. Sememangnya kita sering juga mendengar kejadian runtuh-runtuh ini berlaku di dalam negara kita yang tersayang ini. Stadium runtuh, bumbung runtuh, taman runtuh, termasuklah durian runtuh pada musim perayaan. Tetapi kejadian tanah runtuh sehingga membabitkan kematian dan kecederaan anak-anak yatim kali telah mengejutkan banyak pihak termasuklah isteri Perdana Menteri sehingga menyebabkan beliau menangis dan terus pulang ke Malaysia walaupun sepatutnya beliau ke Jepun. Berduyun-duyunlah manusia yang prihatin datang dan melihat serta melawat anak-anak yatim ini termasuklah Imam besar masjid negara. Begitulah lumrah kehidupan bila dah terhantuk baru nak terngadah. Kesianlah negaraku ini, banyak lagi rupanya rakyat yang susah seperti anak-anak yatim yang tidak terbela. Semalam sempat tengok berita TV1, di mana Imam masjid Negara pergi melawat anak-anak yatim yang selamat di hospital. Anak-anak ini gembira dan tersenyum bila dapat hadiah dan sumbangan. Itulah zaman kanak-kanak walaupun susah dan ditimpa musibah tapi masih tetap seronok. Teringat saya masa kecik-kecik dulu, suka dan nakal sungguh. Dalam kepala asyik fikir main-main dan seronok saja. Apabila ayah suruh buat kerja pun nak main juga.






Sebagaimana para pembaca maklum saya bukanlah keluarga orang senang dan kaya. Oleh itu antara kerja yang terpaksa saya lakukan ialah mengambil 'tengkuk padi' untuk dijadikan makanan itik dan ayam. Setiap hari saya akan ke kilang padi untuk mengambil 'tengkuk padi' dengan basikal. Ayahanda tercinta sediakan basikal tua untuk saya gunakan bagi mengangkut 'tengkuk padi' tersebut. Oleh kerana, boleh dikatakan setiap hari ke kilang padi, hati saya tergerak untuk bermain-main dahulu di kilang padi tersebut. Nak main apa? Main sekam seronok juga, ditambahkan pula melihatkan sekam yang sudah menjadi abu berwarna putih menggunung tinggi sebiji macam salji dan gunung salji. Zaman kanak-kanak bukan fikir apa dah, yang penting ialah keseronokan. Tanpa berfikir panjang selepas menghantar 'tengkuk padi' ke lau itik dan reban ayam, saya pun terus ke kilang padi untuk bermain 'salji' dan 'gunung salji'. Walaupun seorang diri namun keseronokan menggamit hati dan perasaan. Sesampai sahaja di sana, saya terus mendaki ke puncak dan mengelongsor turun seperti cerita-cerita dalam t.v. huihh seronok sungguh. Walaupun 'salji' ini tidak sejuk seperti di Amerika tapi ia boleh dimain seperti di sana. Malang akhirnya tiba juga. Keseronokan bermain 'salji' bertukar menjadi jeritan sakit dan tangisan. Kaki saya termasuk ke dalam 'salji' panas yang sedang terbakar. Alhamdulillah kerana kaki saja yang termasuk ke dalam jikalau badan mungkin hari ini saya tidak lagi boleh menaip di blog ini. Dengan sepantas kilat saya merendamkan kaki yang panas itu ke dalam parit yang berdekatan. Pulanglah saya dengan tangisan ke rumah tanpa memakai kasut. Pastinya ayahandaku memarahi anak kesayangannya kerana pergi bermain tanpa kebenaran. Selepas itu saya di bawa ke klinik dan mendapatkan rawatan di hospital Parit Buntar. Orang di hospital kata, "kenapa yang pi main sekam padi." Saya kata, "Saya nak main salji-salji."



Begitulah fikiran zaman kanak-kanak, tiada apa yang difikirkan kecuali keseronokan dan permainan. Siapa patut dipersalahkan, adakah tuan punya kilang kerana tidak membuat pagar berkunci bagi kawasan bahaya seperti itu atau saya kanak-kanak seperti saya? Pihak berkuasakah? Ayahanda dan bondakah? Begitulah juga situasi tanah runtuh rumah anak yatim. Siapa yang patut dipersalahkan? Yang pasti kanak-kanak tidak boleh dipersalahkan kerana mereka hanya tahu berseronok dan tidak berfikir panjang. Masyarakat dewasalah sepatutnya memantau dan melihat jauh demi kebaikan kanak-kanak seperti umur 'saya'.

Selasa, 24 Mei 2011

Tafsir 2

Yahudi Bangsa Laknat Dan Dilaknati... Bebaskan Palestin Dari Penjenayah Ini.. Katakan Tidak Kepada Rokok Yang Membunuh Ummat Dan Mengayakan Yahudi Laknatullah... Allahuakbar!!!!
Firman Allah Yang Bermaksud:

"Jika demikian maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, selama itu mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi(tih) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati memikirkan nasib orang-orang yang fasiq itu." (Al-Maidah ayat 26)


Kisah Bani Israel merupakan antara kisah yang panjang dan mendapat tempat di dalam Al-Quran. Pelbagai bentuk kisah dan cerita berkaitan sikap mereka terhadap para nabi, kitab-kitab dan masyarakat dibentangkan dengan panjang lebar oleh Al-Quran. Pembentangan ini bukanlah sekadar sebuah cerita untuk halwa telinga dan modal cerita untuk kanak-kanak tetapi lebih daripada itu, untuk mengingatkan umat manusia khususnya umat Islam agar tidak bersikap dengan sikap dan perangai orang Bani Israel yang buruk tersebut. Ayat di atas merupakan balasan dan hukuman Allah ke atas mereka hasil pengderhakaan dan kemaksiatan yang mereka lakukan.

Bagaimana mereka boleh tersesat di padang Tih ini? Ia berlaku setelah mereka diselamatkan oleh Allah daripada tentera Firaun yang mengejar mereka dan menenggelamkan Firaun serta tenteranya di dalam Laut Merah. Setelah mereka selamat bukanlah mereka hendak sujud dan bersyukur kepada Allah dengan mentaati segala perintah Allah dan nabi Musa,malah mereka minta pula nabi Musa buatkan untuk mereka berhala seperti kaum yang menyembah berhala. " Dan setelah kami selamatkan mereka menyeberangi laut merah dan mereka mendapati ada satu kaum yang menyembah berhala, mereka pun berkata kepada Musa, buatkanlah untuk kami berhala. Nabi Musa menjawab "Sesungguhnya kamu adalah kaum yang tidak bodoh." Lantaran dek kerana sikap mereka itu maka Allah telah membiarkan mereka berada dalam terperangkap di tengah padang Tih selama 40 tahun. Sekali pun mereka cuba untuk keluar daripadanya dengan berjalan daripada siang sampai ke malam keesokannya mereka dapati mereka berada di tempat yang sama seperti pada permulaan pencarian mereka.

Jarak masa 40 tahun bukanlah jarak masa yang sekejap tetapi merupakan jangkawaktu yang panjang. Itulah balasan untuk mereka yang terlalu engkar akan suruhan dan perintah Allah. Kemanakah mereka setelah 40 tahun tersesat di Padang Tih? Insyallah pada kesempatan yang lain saya akan terangkan kepada para pembaca.


Untuk Sumbangan Wakaf/Zakat/Derma kepada Sekolah Tahfiz Al-Islah(STAIL) dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz(SMART) boleh masukkan wang ke dalam akaun berikut:

Sekolah Tahfiz Al-Islah : BIMB : 07043011010032

Sekolah Menengah Arab Tahfiz: Maybank : 557447202508

Ahad, 22 Mei 2011

Memori Kedua




Baru-baru ini negara Malaysia dan Satu Malaysia gempar dengan berita berkaitan kegemukan kanak-kanak sekolah. Para cendiakawan, guru-guru dan para doktor pun memberi pelbagai komen yang amat hebat. Pelbagai saranan diberikan agar kadar kegemukan dikalangan kanak-kanak terutama para pelajar sekolah dapat dibendung. Rentetan daripada isu sensasi yang menjadi berita hangat ibarat air panas yang dimasak di dalam cerek wisel mengeluarkan bunyi begitu kuat sehingga terdengar dek para menteri. Oleh kerana bising cerek hangat ini maka keluarlah berita besar di dada akhbar di muka surat depan 'Nasi Lemak' antara makanan yang dikenalipasti sebagai penyebab obes dikalangan kanak-kanak. Melihat tajuk itu saya berasa amat sedih dan terkilan nasi lemak yang menjadi makanan kegemaranku dipersalahkan. Malah ianya adalah makanan orang melayu yang telah terkenal dan masyhur hingga terbang mengapai awan di dalam Kapal Terbang Air Asia. Satu dunia iktiraf kelazatan nasi lemak Malaysia tetapi bangsaku sendiri kondem dan hentam nasi lemak. Surat Khabar melayu ini mungkin marah pada nasi lemak kerana menggunakan akhbarnya sebagai pembalut dan pembungkus nasi lemak.


Nasi Lemak Dan Aku


Masih segar dijiwa dan kalbukan bagaimana susahnya hidup dibangku sekolah dahulu. Kesusahan dan kemiskinan telah menjadikan hidup kami sekeluarga berdikari untuk meneruskan kehidupan. Dengan bilangan ahli keluarga seramai 8 orang dan ke semuanya bersekolah ketika itu telah menyebabkan emak dan ayah saya berkerja siang dan malam mencari nafkah buat menyara anak-anak. Setiap pagi dari awal jam 4.00pagi emak dan ayah sudah bangun menyising tangan melakukan kerja harian. Emak memasak nasi lemak dan sambal tumis yang amat menyelerakan bagi sesiapa yang memakannya. Kami memulakan konsep kualiti lebih penting dari kuantiti. Nasi lemak kami memang nasi lemak bukan nasi lemak yang tidak lemak, kira-kira ori punya. Ikan bilis pula yang mahal dan rapuh. Oleh kerana bahan yang digunakan, bahan berkualiti dan sedap dimakan nasi lemak kami berharga 20 sen sebungkus. Tahun 80an harga sebegitu sudah dikira mahal kerana semua nasi di kampung saya dijual dengan harga 10 sen sahaja. Kakak saya membantu emak membungkus dan saya pula sebagai penghantar dan pengedar ke kedai-kedai. Alhamdulillah setiap kali sampai pasti nasi lemak kami ditunggu ramai dan belum sempat diletak di atas meja sudah habis, tapi itu hanya hari-hari tertentu sahaja iaitu pada musim mengerat padi, menajak dan memukul padi. Makan nasi lemak kami yang berlemak itu mendatangkan banyak tenaga kepada para pesawah dan pelaut. Di sebelah petang saya akan ke kedai untuk mengutip wang jualan daripada tuan-tuan kedai. Bayaran yang diterima bukanlah 20 sen sebungkus tapi cuma 16 sen sebungkus setelah ditolak komisen. Jika jualan hari itu habis pulanglah saya dengan senyuman lebar sampai ke telinga tapi kalau tak habis mencebek wajah la jawabnya. Emak dan ayah selalu kata pada saya, rezeki kita banyak ni saja nak buat macam mana, semua Allah yang tentukan. Lupa untuk saya jelaskan tentang bungkusan nasi lemak kami. Masa itu ramai orang guna daun pisang untuk balut nasi lemak mereka tapi kami guna daun pisang dan surat khabar. Janganlah pembaca salah faham penggunaan surat khabar sebagai pembalut nasi lemak ini. Bukan kerana bencikan utusan hairan. Bukan.... sama sekali kerana kami sekeluarga ketika itu adalah orang kuat UM...


Saya bersyukur kerana terpilih sebagai penghantar nasi lemak sebelum ke sekolah namun peristiwa pahit saya dirotan ayahanda tercinta kerana saya melawan bonda tersayang tidak akan saya lupakan. Semuanya itu kerana saya terlewat ke sekolah dek kerana menghantar nasi lemak hari tersebut. Saya protes emak kerana kerja penghantaran nasi lemak inilah yang menyebabkan saya terlewat ke sekolah. Akhirnya beberapa das ledakan rotan dilepaskan oleh ayahanda tersayang yang ketika itu baru pulang dari masjid. Saya yang bersalah kerana bangun lewat sekali pun sudah berkali-kali dikejutkan oleh ayah dan emak. Terima kasih ayah kerana hasil rotan itu saya berjaya hari ini. Kakak saya menangis melihat 'balur' sambil menyapu ubat dan aku juga menangis.




Begitulah kehidupan orang melayu di kampung-kampung seperti saya dan keluarga mencari sesuap rezeki dengan penjualan nasi lemak. Tiba-tiba senang-senang para pakar menghentam periuk nasi lemak orang melayu Islam. Kenapa nasi lemak dijadikan tajuk utama tidak pula makanan lain yang lebih berbahaya untuk kesihatan. Kanak-kanak dulu makan nasi lemak tidak 'gaduh' pun masalah kegemukan. Saya ke sekolah makan nasi lemak dan rehat pula makan nasi putih yang diberi bekal tak gemuk pun sampai sekarang. Ya sebabnya saya dan kawan-kawan saya mengayuh basikal sejauh 10km setiap hari dan kadang-kadang berjalan kaki. Isunya bukan salah nasi lemak tapi gaya hidup yang hari ni emak ayah hantar anak sampai depan pintu sekolah naik kereta. Bilakah mereka berjalan saya pun tak tahu... Nasi lemak dan saya adalah erti kesusahan, kemiskinan, kerajinan dan kesabaran.....

Jumaat, 20 Mei 2011

Kisah Daripada Rasulullah S.a.w : bil. 2


Maksud hadis :

Daripada Abu Hurairah R.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawasanya tersebut kisah seorang lelaki daripada Bani Israel telah meminta hutang sebanyak seribu dinar daripada seseorang daripada kalangan Bani Israel. Maka berkatalah orang ingin memberi hutang kepadanya"Datangkanlah saksi untuk menyaksikannya". Kata si lelaki ini, "Cukuplah Allah sebagai saksinya". Berkata pula si pemberi hutang, "Datangkanlah penjamin untuk menjaminnya". Kata Si lelaki itu "cukuplah Allah sebagai penjaminnya". "Benar kamu" kata si pemberi hutang. Lalu dia pun menyerahkan wang sebanyak seribu dinar kepada si lelaki ini. Berlalu pergilah si lelaki ini dan menyelesaikan tanggungjawabnya dengan menyeberangi laut. Telah sekian lama sampailah waktu untuk dia membayar kembali hutang tersebut, maka dia pun pergi ke laut untuk mendapatkan sampan tetapi malangnya tidak ada sampan. Dia pun mengambil sebatang kayu lalu menebuknya dan memasukkan seribu dinar itu ke dalam lubang tersebut berserta surat untuk saudaranya yang telah memberi hutang kemudian dia pun menutup lubang tersebut. Selepas itu pergilah ke laut dengan membawa kayu tersebut dan menghanyutkannya sambil berdoa" Ya Allah, Sesungguhnya engkau tahu aku telah berhutang dengan saudaraku itu sebanyak seribu dinar, dan dia telah meminta saksi daripadaku tetapi aku mengatakan cukuplah engkau menjadi saksi, dia meminta penjamin dan aku berkata cukuplah engkau menjadi penjaminnya dan dia pun redha. Aku telah cuba mendapatkan kenderaan untuk ke sana tetapi tidak bertem. Oleh itu aku memohon kepadamu dan menyerahkan ini melalui engkau. Kemudian dia mencampakkan kayu tersebut ke dalam laut. Manakala saudaranya si pemberi hutang menanti di pengkalan untuk melihat kedatangan sampan yang membawa hutang yang telah dijanjikan untuk dibayar tetapi tidak kelihatan kecuali sebatang kayu. Maka dia pun mengambil kayu tersebut dan dibawa pulang untuk dijadikan kayu api. Apabila dipecahkan kayu tersebut maka di dapati ada wang dan surat daripada rakannya yang berhutang tersebut.
Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Ahmad dan At-Thobrani.

Pengajarannya:

1. Niat dan usaha yang baik akan sentiasa mendapat bantuan serta pertolongan daripada Allah s.w.t
2. Menunaikan amanah dan melaksanakan janji merupakan perkara yang penting di dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim.


Khamis, 19 Mei 2011

Memori Satu



Perjalanan hidup ini kata orang seperti putaran roda, sekejap berada diatas dan sekejap berada di bawah. Kadang-kadang susah dan kadang-kadang senang. Iman pun begitu kadang-kadang meningkat dan menjulang tinggi tetapi kadang-kadang menjunam jatuh ke bawah. Betul semuanya ungkapan itu, cuma berapa ramai mereka yang sedar tentang kelemahan diri. Namun begitu bukanlah semua perkara di dalam kehidupan berputar, lihat saja contohnya umur dan memori yang lalu tertinggal dibelakang. Apakah hidup pada zaman kanak-kanak akan berputar kembali? Apakah hidup bersama ayah dan ibu sewaktu kecil di peluk dan dicium serta digendong ke sana dan ke sini akan berputar kembali? Hanya mereka yang berfahaman kufur mengenai roh yang ada penghidupan semula ke dunia sahaja mempercayainya. Jikalau hari ini kita sudah tidak punya ayah dan bonda maka kita cuma menanti, moga-moga bertemu kembali di syurga Allah.



Setiap orang selagi dia bernama manusia sudah pasti dia mempunyai memori dan pengalaman yang tersendiri. Ada yang mungkin dahulunya seorang anak yang sering dipukul dan dimarahi dek si ayah atau mungkin juga sering dicium dan dibelai oleh si ibu. Apa pun peristiwa itu, ia hari telah menjadi memori. Memori yang lalu sepatutnya menguatkan diri dan menjadi pedoman hidup hari ini dan yang akan mendatang nanti. Saya juga tidak terlepas daripada memori pahit dan manis di sepanjang kehidupan ini. Apa yang ingin saya kongsikan bersama para rakan pembaca merupakan memori yang banyak memberi kesedaran dan kekuatan di dalam meneruskan kehidupan ini.






Surat Khabar&Kesabaran

Saya bukanlah seorang 'reporter' akhbar utusan Malaysia malah saya lebih hebat daripada itu kerana akhbar itu hari ini bukanlah hebat sangat cuma sekadar buat bungkusan nasi lemak sahaja. Biar pun usia saya ketika itu cuma 8 tahun ke 10 tahun tapi saya sudah kenal erti kehidupan menjadi penjual surat khabar. Sekali lagi saya ingatkan surat khabar yang saya jual itu bukan Utusan Hairan. Surat khabar yang saya jual ini ialah surat khabar memberi khabar gembira di akhirat nanti. Surat khabar yang membicarakan tentang hakikat kehidupan abadi. Saya ke hulu dan ke hilir menjual surat khabar ini hinggalah naik bas dan turun bas menjual akhbar ini. Ayahandaku (Alfatihah buatnya) yang telah mengajarkan daku erti sebuah perjuangan dan kesabaran. Akhbar Islam yang memberitakan kisah-kisah Islam, akhlak yang baik, peringatan akhirat bukanlah diminati sangat oleh orang melayu kerana orang melayu lebih suka kisah dan berita video seks serta seangkatan dengannya. "Assaalamualaikum mak cik, ni ada surat khabar mak cik, murah saja mak cik." "Tak payahlah rumah mak cik dah banyak surat khabar". " Tapi ni surat khabar Islam mak cik". Pernah juga saya ke sebuah rumah dan dihalau dengan rotan oleh tuan rumah. Majalah Al-Qalam, Al-Ain dan surat khabar Al-Arqam itulah surat khabar yang saya jadikan bahan jualan. Alhamdulillah memori ini masih kekal di dalam jiwa dan fikiran saya. Ia mematangkan hidup saya sebagai seorang pendakwah. Dengan menjadi penjual surat khabar ini saya belajar untuk hilangkan rasa malu untuk berdakwah, berlatih berniaga, kesabaran dan semangat juang. Ucapan jutaan terima kasih kepada ayahanda Abu Bakar yang telah mendidik daku dengan jalan perjuangan ini. Kesyukuran ke hadrat Allah kerana daku terpilih untuk menjadi salah seorang pendakwah agamanya.

Isnin, 16 Mei 2011

Sajak Hari Guru 2011
















Salam perjuangan daku ucapkan padamu guru,

Perjuanganmu, perjuanganku juga jihad nabimu,

Kalau hari ini kau bergelar guru,Itu kerana anak muridmu,
Kalau namamu mualim, itu kerana ilmumu,



Sahabat-sahabatku guru,

Bakarlah diri untuk sinari anak didikmu,

Berkorbanlah sampai terkorban,

jangan sampai jadi korban nafsu,



Pada anak didikku,

Ucapan,senyuman anda penyeri hidupku,

Tangisan, kenakalanmu, pengalaman buatku,

Sayangilah daku dan guru-gurumu dalam doamu,

Doamu dikala hidupnya adalah mutiara,

Doamu dikala matinya kami, pahala berharga,

Terima kasih semua, terima kasih guru-guruku semua,

Mohon maaf daku pinta atas kesilapan dan kesalahan segala,

Selamat Hari Guru Untuk Semua...




Kepada sesiapa yang telah membaca blog ini silalah membuat sedikit sumbangan kepada Sekolah Tahfiz Al-Islah&Sekolah menengah Arab Tahfiz. Hubungi 045732622 atau saya sendiri 0134881601.
















Nasyid Hari Guru Oleh Para Pelajar SMART

Ahad, 15 Mei 2011

Video 3

Kisah-Kisah Daripada Rasulullah S.A.W

عن أبى هريرة عن النبى صلى الله عليه والسلام قال: "بينما أيوب يغتسل عريانا,خر عليه رجل جراد من ذهب, فجعل يحثى فى ثوبه فناداه ربه: يا أيوب ألم أكن أغنيتك عما ترى؟ قال بلى يا رب ولكن لاغنى بى عن بركتك

Maksud Hadis:


Daripada Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W telah bersabda: Ketika Nabi Ayub A.S mandi dalam keadaan berbogel, turun kepadanya belalang daripada emas. Nabi Ayub A.S menadahnya dan meletakkan belalang emas tersebut di dalam bajunya. Allah s.w.t menyeru kepadanya: Wahai Ayub, Adakah aku tidak menjadikan kamu kaya sebagaimana yang engkau ketahui. Jawab Nabi Ayub A.S, "Bahkan ya Allah, tetapi aku tidak rasa puas dengan keberkatan darimu."


Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab tauhid, Imam Nasaei di dalam bab mandi, juga diriwayatkan oleh Ibn Hibban serta Imam Ahmad.


Setelah anda membaca hadis ini janganlah lupa kepada Sekolah Tahfiz Al-Islah dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz untuk melakukan wakaf/sumbangan/zakat. Hubungi 04-5732622/013-4881601