Khamis, 19 Mei 2011

Memori Satu



Perjalanan hidup ini kata orang seperti putaran roda, sekejap berada diatas dan sekejap berada di bawah. Kadang-kadang susah dan kadang-kadang senang. Iman pun begitu kadang-kadang meningkat dan menjulang tinggi tetapi kadang-kadang menjunam jatuh ke bawah. Betul semuanya ungkapan itu, cuma berapa ramai mereka yang sedar tentang kelemahan diri. Namun begitu bukanlah semua perkara di dalam kehidupan berputar, lihat saja contohnya umur dan memori yang lalu tertinggal dibelakang. Apakah hidup pada zaman kanak-kanak akan berputar kembali? Apakah hidup bersama ayah dan ibu sewaktu kecil di peluk dan dicium serta digendong ke sana dan ke sini akan berputar kembali? Hanya mereka yang berfahaman kufur mengenai roh yang ada penghidupan semula ke dunia sahaja mempercayainya. Jikalau hari ini kita sudah tidak punya ayah dan bonda maka kita cuma menanti, moga-moga bertemu kembali di syurga Allah.



Setiap orang selagi dia bernama manusia sudah pasti dia mempunyai memori dan pengalaman yang tersendiri. Ada yang mungkin dahulunya seorang anak yang sering dipukul dan dimarahi dek si ayah atau mungkin juga sering dicium dan dibelai oleh si ibu. Apa pun peristiwa itu, ia hari telah menjadi memori. Memori yang lalu sepatutnya menguatkan diri dan menjadi pedoman hidup hari ini dan yang akan mendatang nanti. Saya juga tidak terlepas daripada memori pahit dan manis di sepanjang kehidupan ini. Apa yang ingin saya kongsikan bersama para rakan pembaca merupakan memori yang banyak memberi kesedaran dan kekuatan di dalam meneruskan kehidupan ini.






Surat Khabar&Kesabaran

Saya bukanlah seorang 'reporter' akhbar utusan Malaysia malah saya lebih hebat daripada itu kerana akhbar itu hari ini bukanlah hebat sangat cuma sekadar buat bungkusan nasi lemak sahaja. Biar pun usia saya ketika itu cuma 8 tahun ke 10 tahun tapi saya sudah kenal erti kehidupan menjadi penjual surat khabar. Sekali lagi saya ingatkan surat khabar yang saya jual itu bukan Utusan Hairan. Surat khabar yang saya jual ini ialah surat khabar memberi khabar gembira di akhirat nanti. Surat khabar yang membicarakan tentang hakikat kehidupan abadi. Saya ke hulu dan ke hilir menjual surat khabar ini hinggalah naik bas dan turun bas menjual akhbar ini. Ayahandaku (Alfatihah buatnya) yang telah mengajarkan daku erti sebuah perjuangan dan kesabaran. Akhbar Islam yang memberitakan kisah-kisah Islam, akhlak yang baik, peringatan akhirat bukanlah diminati sangat oleh orang melayu kerana orang melayu lebih suka kisah dan berita video seks serta seangkatan dengannya. "Assaalamualaikum mak cik, ni ada surat khabar mak cik, murah saja mak cik." "Tak payahlah rumah mak cik dah banyak surat khabar". " Tapi ni surat khabar Islam mak cik". Pernah juga saya ke sebuah rumah dan dihalau dengan rotan oleh tuan rumah. Majalah Al-Qalam, Al-Ain dan surat khabar Al-Arqam itulah surat khabar yang saya jadikan bahan jualan. Alhamdulillah memori ini masih kekal di dalam jiwa dan fikiran saya. Ia mematangkan hidup saya sebagai seorang pendakwah. Dengan menjadi penjual surat khabar ini saya belajar untuk hilangkan rasa malu untuk berdakwah, berlatih berniaga, kesabaran dan semangat juang. Ucapan jutaan terima kasih kepada ayahanda Abu Bakar yang telah mendidik daku dengan jalan perjuangan ini. Kesyukuran ke hadrat Allah kerana daku terpilih untuk menjadi salah seorang pendakwah agamanya.

0 comments:

Catat Ulasan