Sabtu, 29 Ogos 2009

Ramadhan Al-Mubarrak

Segala kesyukuran kita panjatkan kehadrat ilahi yang telah mempertemukan dengan Ramadhan tahun. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat ini datangnya hanya sekali dalam setahun. Kedatangannya demi memastikan orang beriman seperti kita semua mendapat martabat taqwa yang tinggi nilainya disisi Allah iaitu dibalas dengan balasan syurga.

Kepada para pembaca budiman saya memohon berbanyak kemaafan kerana sudah lama tidak dapat mengemaskini blog ini kerana beberapa masalah teknikal. Insyallah saya akan cuba mengemaskini blog ini setiap hari sepanjang bulan Ramadhan ini. Sebagaimana para pembaca maklumi bahawa kewujudan blog saya ini lebih kepada sentuhan rohani dan perkembangan sekolah tahfiz yang saya asaskan. Untuk itu suka saya memulakan sentuhan kali ini dengan kita melihat semula ungkapan ayat-ayat Allah agar kita tidak terpesong diseoanjang perjalanan hidup ini. Bulan ini bulan Al-Quran, bulan keberkatan dan amalan kebajikan.

Al-quran mempunyai 114 surah yang dimulai dengan surah Al-Fatihah(Pembukaan). Ini bermaksud setiap kali kita membuka Al-quran kita akan berjumpa surah 'pembukaan' ini terlebih dahulu. Para ulama menjelaskan bahawa surah inilah yang dinamakan 'Sabul Mathani'. Kita bukanlah mahu membahaskan surah ini berdasar ilmu tafsir tetapi dalam ruang yang terhad ini kita ingin melihat beberapa pengajaran yang boleh diambil sebagai bekalan selama kita menghadapi Ramadhan tahun ini. Cuba kita lihat mengenai kalimah 'Alhamdulillah' yang memberi erti segala puji dan puja hanya untuk Allah s.w.t. Oleh itu sebagai pengajaran buat kita yang menjalani ibadah puasa marilah kita berfikir sejenak betapa nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t terlalu banyak untuk kita semua. Apabila merasai kelaparan dek kerana kita berpuasa maka ketika itu seharusnyalah kita merasai betapa ramai dikalangan umat manusia hari ini yang miskin dan susah dan ada diantara mereka yang menunggu mati kerana kekurangan makanan. Apabila kita memerhati dan menginsafi hakikat ini pasti sekali ungkapan 'Alhamdulillah' lebih enak dan lazat untuk diungkapkan. Alhamdulilah ya Allah kerana engkau telah anugerahkan kami rezeki yang melimpah ruah dalam keadaan adanya manusia yang masih kelaparan. Ampunkanlah kami ya Allah jika tersilap dan tersalah didalam menggunakan rezekimu selama ini.

Akhir kata, ucaplah 'Alhamdulillah' kerana kita dapat bertemu dengan Ramadhan dan dapat rezeki kurniaan tuhan. Mudah-mudahan kita disayangi Allah sepanjang kehidupan.

0 comments:

Catat Ulasan