Rabu, 2 Jun 2010

Kesabaran

"Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar." Ayat ini sering berkisar dibibir kita setiap kali kita mengungkapkan mengenai kepentingan sabar. Namun untuk merasainya hanya kita yang tahu apakah benar kita seorang yang bersabar. Berkata 'sabarlah' memang mudah tetapi untuk menghayatinya perlu latihan dan kesungguhan. Sepanjang mengurus Sekolah Tahfiz Al-Islah dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz, menghadapi kerenah para pelajar dan guru-guru serta kakitangan telah banyak mengajar ana betapa perlunya kesabaran sebagai seorang pemimpin. Tidak terlepas kepada mereka yang sudah beristeri dan berkeluarga pasti mereka juga sedang dalam latihan dan kesungguhan untuk bersabar. Ungkapan sabar tidak dipelajari dengan menadah kitab dan buku atau membaca mengenainya tetapi ia boleh dipelajari dan dihayati dengan menatap dan membaca buku kehidupan seharian. Kini kehidupan ana semakin kuat kerana semakin dapat bersabar. Walau bagaimana hebat sekali pun ribut atau taufan yang melanda namun jika tiang kesabaran masih utuh dan tidak tercabut maka selagi itu kita mampu meneruskan kehidupan. "Mohon pertolongan Allah dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang sabar." Jika kita bersabar yang marah bertukar tenang, yang duka bertukar suka, yang masam bertukar manis yang sempit bertukar luas dan lapang, yang sukar bertukar senang. Kunci segala kejayaan dan keharmonian ialah kesabaran. Jika kita melakukan dosa bertaubatlah dengan sabar. Jika melihat maksiat bersabarlah dalam menegur dan mencegahnya. Jika kita belajar bersabarlah dalam mempelajarinya. Jika melakukan ibadah bersabarlah dalam mengerjakannya. Benarlah kata-kata sabar itu sebahagian daripada iman.

2 ulasan:

  1. sabar memang kunci segala kekuatan. IM alami ini sendiri...

    BalasPadam
  2. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bersabar,tawakal dan ikhlas atas semua qodo.

    BalasPadam