Jumaat, 10 Jun 2011

Memori Keempat



Alhamdulillah sudah tiga hari selamat pulang ke Malaysia dari Indonesia setelah 6 hari di sana. Keletihan dan kepenatan mengharungi perjalanan bermula dari Gontor menuju ke Surabaya dan seterusnya sampailah ke rumah di Kampung Tok Bedu Pulau Pinang. Keesokannya demam yang baru pulih kembali menyerang dan alhamdulillah hari baru benar-benar sihat namun batuk masih ada. Moga para pembaca dan sahabat handai dapat mendoakan buat saya agar sentiasa dipelihara Allah selalu. Beberapa hari setelah pulang dan menatap beberapa isu di dada akhbar saban hari isu politik terhidang. Al-maklum baru sahaja selesai Muktamar PAS di mana berlaku perubahan di dalam pucuk pimpinan PAS. Akhbar hari Jumaat 10 Jun 2011 juga berkisar tentang isu politik kepartian juga. Ingat saya dengan arwah emak yang memegang jawatan setiusaha UMNO cawangan pada waktu saya masih kecil. Emak begitu berkerja keras siang dan malam semata demi perjuangan bangsa, agama dan negara tercinta. Emak berkhidmat semata-mata demi perjuangan bukan pangkat atau jawatan dan kedudukan apatah lagi bukan untuk kemewahan. Tapi arwah ayah tidak berminat dengan politik kepartian beliau lebih suka berkhidmat di dalam arena NGO seperti bergiat dengan Jamaah Tabligh, Al-Arqam dan ABIM. Saya sebagai anak bongsu sering mengikut emak dan ayah ke mana sahaja. Suatu hari ayah membawa emak dan rakan-rakan UMNOnya pergi mesyuarat di suatu tempat yang saya tidak boleh memaklumkannya nanti jatuh aib pula kampung tu. Untuk makluman para pembaca ayah mempunyai sebuah bas sekolah dan membuat perkhidmatan sewaan kepada sesiapa yang ingin menyewa.Mesyuarat itu agak lama sehingga masuk waktu asar dan ayah seperti biasa sebagai orang yang taat pada agama akan terus pergi ke masjid untuk bersolat asar. Pastinya saya mengikut ayah. Setelah selesai solat dan berwirid sedikit akhirnya kami kembali ke tempat mesyuarat. Beginilah cara didikan ayahanda yang tercinta beliau mengajar saya secara tidak langsung. Hendak buat apa pun solat wajib diutamakan. Tunggu dan terus menunggu akhirnya emak pun dan rakan-rakan mesyuaratnya pun keluar dari mesyuarat. Salah seorang daripada rakan emak kerana terlalu peramah membuka mulut kepada ayah dan memberitahu yang mereka tidak sempat solat asar kerana mesyuarat terlalu panjang. Ayah saya terus bertanya kepada emak apakah benar yang mereka tidak bersolat asar semata-mata kerana mesyuarat tersebut? Emak terpaksa menjawab dengan berat hati, ya. Kemarahan ayah terus meluap seperti sebuah gunung berapi yang mengeluarkan laharnya. Kemarahan kerana semangat imannya yang tidak dapat dibendung. Bukan marah kerana orang menghinanya atau menghina anaknya atau sebab keduniaan tetapi kerana kemaksiatan yang besar yang telah dilakukan oleh mereka yang menyewa basnya apatah lagi emak sendiri selaku isterinya. Ayahanda terus mengungkap kata-kata keras yang dia hari ini bersubahat membawa orang tidak bersolat. Ayah memarahi semua teman-teman emak tanpa mengira siapa termasuklah emak kerana lebih pentingkan mesyuarat daripada solat. Sifat tegas ayah ini mungkin telah saya warisi kerana saya amat tegas dengan anak-anak termasuklah pelajar-pelajar saya sama ada dalam masalah agama atau disiplin.






Setelah sampai ke rumah, malam itu ayah membuat keputusan besar dalam hidup emak iaitu tidak dibenarkan lagi aktif dan menghadiri sebarang program UMNO. Emak menangis.. jiwa emak memang serasi dengan aktiviti kemasyarakatan. Emak pandai berpidato, mengarang, bersajak dan mengajar. Mungkin bakat emak itu tumpah kepada saya hari ini. Mulai hari itu emak tidak lagi bersama UMNO. Saya menjadikan ini sebagai memori sebagai peringatan agar sentiasa menjaga solat sekali pun atas nama perjuangan. Sama ada perjuangan Islam sekali pun kita wajib menjaga asas dan dasar Islam terutama solat. Kepada rakan-rakan UMNO berubahlah kepada perjuangan Islam kerana orang melayu mulia dengan Islam. Kepada rakan-rakan PAS berubahlah kepada mengukuhkan tarbiyyah para ahli, ramai lagi ahli PAS yang tidak ke Masjid dan ke kuliah agama. Mungkin para pembaca tertanya-tanya saya siapa? Orang PAS atau UMNO? Jawapannya saya saudaramu dalam Islam.... Al-Fatihah buat bonda dan ayahanda yang tercinta..

0 comments:

Catat Ulasan