Khamis, 6 Oktober 2011

Trip To USA 11











Kursus IVLP kami sejak dari awal telah dimakumkan bertujuan untuk memperkenalkan U.S dan memahamkan masyarakat dunia mengenai U.S disamping untuk bertukar pandangan dan maklumat antara negara. Selama kami berada di rumah keluarga angkat di Paris Illinois, kami telah mempelajari banyak perkara berkaitan budaya masyarakat dan kehiduapan agama kristian di U.S. Bermula dengan makan malam di rumah yang terletak ditengah ladang jagung dan kacang soya yang luasnya ratusan hektar hinggalah lawatan ke gereja dan sekolah, telah banyak membuka mata saya untuk pulang membuat beberapa perubahan terutama di dalam hal pendidikan dan dakwah. Semasa saya sampai sahaja di rumah keluarga angkat kami yang terletak jauh di tengah ladang, saya amat teruja kerana kebersihan rumah mereka dan tersusunnya reka bentuk rumahnya. Rumah keluarga angkat ini terletak di atas sebidang tanah seluas 23 ekar, dengan dikelilingi ladang jagung, kacang soya dan pokok oak serta hutang.

Budaya orang kristian seperti yang sering ditonton di kaca T.V mereka akan berdoa sebelum makan malam dan makan siang semasa di rumah. Umat Islam tidaklah disuruh berdoa seperti orang kristian berdoa, oleh itu setiap kali datang makanan kita disuruh untuk berdoa agar makanan yang dikurniakan itu membawa keberkatan dan dijauhkan kita daripada api nereka. Tetapi berapa ramai umat Islam yang apabila hadir sahaja makanan tidak membaca doa dan tidak pula membaca basmalah ketika hendak makan? Lupa pula hendak menyatakan nama ibu dan bapa angkat saya.. Ibu angkat saya Barbara dan bapa angkat pula namanya David. Mereka mempunyai 2 orang anak, perempuan bekerja sebagai guru dan lelaki bekerja sebagai doktor. Mereka sememangnya orang kaya dan penyokong republikan, dan penyokong republikan ramainya orang kulit putih dan kuat berpegang dengan agama kristian protestant. Sempat saya pergi melawat gereja pada hari Ahad bersama keluarga angkat ini untuk melihat cara sembahyang mereka. Ketika sampai di gereja, saya disambut oleh pihak gereja dan mereka menunjukkan tempat untuk saya. Saya pula seorang diri ketika itu kerana rakan saya Ustaz Khalil sakit perut pada hari itu. Saya duduk dikerusi belakang dengan seorang nenek tua berusia 90tahun. Nama saya diumumkan sebagai tetamu dari Malaysia di dalam majlis tersebut. Apa yang saya lihat di setiap tempat duduk mereka, terdapat bible dan dihadapan pulak ada tempat berucap serta pemain muzik serta barisan penyanyi serta kerusi untuk Paderi. Inilah pengalaman pertama masuk ke gereja dengan upacara sembahyang dijalankan. Sesampai saja saya terus sakit kepala dan tengkuk saya terasa amat sakit. Saya amat rasa gementar dan takut, dan bibir saya tak berhenti berzikir dan membaca Al-Quran terutama ketika upacara sembahyang mereka dijalankan. Alhamdulillah sedikit demi sedikit sakit kepala pun hilang. Alhamdulillah dengan sedikit hafazan Al-Quran yang ada di dada telah dapat menenangkan hati dan memberi kekuatan, dan ketika ini barulah terasa betapa Al-Quran penawar bagi godaan syaitan dan pengawal segala keburukan. Ketika mereka bangun menyanyi dan berdoa saya tetap ditempat duduk tanpa bangun sedikit pun. Untuk apa saya bangun? Saya agama saya, dan saya datang bukan untuk bersembahyang seperti mereka tetapi hanya untuk mengetahui lebih dekat cara mereka beribadah. Sepanjang berada di dalam gereja itu saya membelek-belek kitab bible dan terbaca mengenai kisah nabi Adam dan anak-anaknya. Sememangnya ada persamaan juga dengan kisah nabi Adam di dalam Al-Quran tetapi bukanlah semua. Selesai sembahyang mereka pun mengedarkan roti dan air holy water, dan sekali lagi saya tetap tidak memakan dan mengambilnya. Apa yang menarik juga yang ingin kongsi ialah apabila seorang pemuda tampil ke hadapan dan bertanya kepada hadirin, mengenai umur-umur para hadirin. Setelah ditanya beliau berkata ke mana orang-orang muda kerana yang hadir hanyalah golongan tua sahaja iaitu 40 tahun ke atas. Saya ketika itu terus teringatkan situasi masjid di negara tercinta terutama di negeri tempat tinggal saya. Apakah masjid negara dan negeriku juga sudah hampir menjadi situasi seperti gereja yang menjadi tempat untuk golongan tua sahaja? Kenapa saya katakan masjid negara dan negeri saya? Ini kerana masjid di U.S kebanyakan yang hadir ialah golongan muda malah yang berkhutbah Jumaat juga orang muda.. tetapi di Malaysia, bagaimana??


Sempat juga kami di sini membuat satu program untuk mereka iaitu program memperkenalkan budaya Malaysia dan agama Islam. Bagi pihak wanita mereka menyediakan masakan tradisi malaysia dan kami pihak lelaki menyediakan persembahan, seperti bacaan Al-Quran, syarahan agama dan persembahan silat.Sepanjang di sini kami dibawa melawat sekolah dan ladang. Ada ladang soya, labu dan jagung. Hari akhir dan malam terakhir, kami telah dibawa di suatu tempat perkelahan iaitu iaitu Pumpkin House. Di situ kami bermain lorong tikus, camp fire(memang patut pengakap buat camp fire sebab sejuk disini bukan sebab depa sembah api) sambil membakar hotdog yang khas dibeli daripada kedai Yahudi(sembelihan yahudi boleh dimakan dan orang yahudi memang jaga bab makanan). Selepas makan kami dibawa naik treler pusing ladang jagung, soya dan labu. sepanjang perjalanan itu kami sempat melihat gerombolan rusa-rusa yang berlari-lari di kawasan ladang. Rusa di sini boleh ditembak dan ditangkap kerana ia bukan binatang perlindungan tetapi perosak tanaman para peladang. Labu di sini besar-besar bukan seperti di Malaysia. Pengalaman berjalan bersama keluarga besar kami di celah ladang2 ini pasti tidak dapat dilupakan dalam hidup kami. Pulang ke rumah malam itu, terus saya berkemas kerana esok kami akan bertolak ke destinasi terakhir kami iaitu Los Angeles tepat jam 6.30pagi... Ibu angkat saya siapkan bekal sebelum bertolak pada pagi itu dan kami berpisah dengan perasaan yang agak sebak kerana layanan yang mereka berikan amat baik tetapi mereka tidak memperolehi hidayah. Moga kedatangan kami membuka hati dan perasaan mereka untuk mengenali Islam dan seterusnya memeluk Islam. Selamat tinggal Paris, Illinois moga anda semua beroleh hidayah dari Allah..

0 comments:

Catat Ulasan