Selasa, 12 Oktober 2010

Ibadah Korban Di Kemboja 3



Alhamdulillah setelah pertemuan dengan Muhammad mencapai keputusan pada tempoh hari, maka saya terus menyediakan kertas kerja Ibadah korban di Kemboja untuk dibentangkan kepada ahli Jemaah Pengurus Sekolah untuk mendapatkan kelulusan. Pihak Jemaah Pengurus sekolah berasa amat gembira dengan cadangan tersebut namun satu lawatan ke Kemboja perlu diadakan terlebih dahulu untuk memastikan perjalanan ibadah korban berjalan dengan lancar. Kami telah berangkat ke sana dengan disertai oleh 5 orang ahli rombongan. Di sana kami telah melawat beberapa buah kampung di wilayah kampung Champ iaitu satu wilayah yang ramai penduduk Islam. Kami melihat sendiri kesusahan yang dialami oleh para penduduk di mana kehidupan mereka ibarat Malaysia 40 tahun yang lalu. Seluruh kampung bergantung pada air perigi dan setiap kali makan hanyalah nasi dan sayur tanpa sebarang lauk seperti ikan atau pun ayam. Kesusahan mereka memberi impak kesedaran kepada kami betapa syukurnya kita di negara bertuah ini kerana hidup dengan dipenuhi rezeki yang melimpah ruah. Setelah melawat kampung, kami telah mengambil kesempatan untuk mengunjungi Mufti Kemboja Okna Kamaruddin. Ketika bersama beliau, kami telah mendapat gambaran yang begitu dahsyat keadaan Kemboja sewaktu berada di bawah pemerintahan Pol Pot. Beliau sendiri telah merasai keperitan dan kesengsaraan ketika ditahan dan disiksa oleh tentera Pol Pot. Katanya "Kita hanya tunggu mati dan kini ibarat mati hidup semula". Kami mengemukakan cadangan kami untuk mengadakan program Kemboja yang berpaksikan bantuan pendidikan dan beliau amat bersetuju dengan tujuan murni tersebut.

Hasil lawatan tersebut telah membangkitkan semangat kami untuk terus berkhidmat kepada agama tercinta dan umatnya sehingga ke titisan darah yang terakhir. Namun sebelum kami berangkat pulang sempat juga kami membeli belah di Bandar Phnom Phen dan begitulah orang Malaysia tidak sah jikalau tidak membeli belah. Bukannya apa, cuma tanda ingat pada keluarga. Kepada para muslimin dan muslimat yang ingin menyertai ibadah korban silalah hubungi saya di talian 0134881601/0194651656.

1 ulasan:

  1. Abd. Rahim bin Sentol24 Disember 2010 pada 9:40 PG

    Assalam, anda tidak mencatat di kampung mana anda telah pergi untuk saya pastikan kes demikian terjadi. Cerita tentang orang kemboja makan nasi putih tanpa brlauk ini suatu cerita yang sudah luput tarikh atau kita namakan "kes-kes kecualian'. Masaalah utama Islam di sana adalah sistem pendidikan yang daif dan mundur, pembangunan ekonomi yang lembab selain masaalah kepimpinan yang tidak jujur dan tidak berwawasan.Barangkali anda masih baru di sana, tidak melawat keseluruhan wilayah malah tidak mendalami punca di lapangan-lapangan secara lebih teliti dan kritis sehingga menganggap program Qurban satu jawapan yang baik kepada penyakit yang menimpa etnik Cham di Kemboja. Saya cadangkan anda mengembara lebih lama, melihat lebih jauh dan mendengar lebih peka kepada permasaalahan yang ada; bukan sekadar menerima laporan sesuatu pihak tanpa penilaian yang kritis dan analisa yang tepat. Buat sementara anda boleh melayari face book saya dan kemudian melawat Kemboja sekali lagi, turun di berbagai lapangan, menemui setiap peringkat rakyat bagi menimbang sendiri apa yang sedang berlaku di sana. Jangan sampai seperti kata pepatah Melayu; Lain penyakit lain diubat, lain yang luka lain pula dibebat. Doa saya anda mendapat inayah Allah dalam hal ini, insya Allah

    BalasPadam